Insiden bakar al-Quran: Wisma Putra panggil kuasa usaha sementara Kedutaan Sweden
CYBERJAYA – Wisma Putra hari ini memanggil memanggil kuasa usaha sementara Kedutaan Sweden di Kuala Lumpur bagi menegaskan pendirian negara mengutuk ‘tindakan keji’ ahli politik berhaluan kanan negara itu membakar al-Quran di Stockholm.
Jelas Wisma Putra dalam satu kenyataan tadi, Malaysia amat kecewa dengan tindakan Sweden membenarkan perlakuan sedemikian sambil mempersoalkan keengganan pihak berkuasa untuk bertindak.
“Kementerian menyuarakan bantahan dan kekecewaan Malaysia terhadap keengganan berterusan pihak berkuasa Sweden untuk mengambil tindakan, seterusnya membiarkan Palaudan meneruskan perbuatan buruknya termasuk kejadian serupa pada April 2022, walaupun diprotes masyarakat dunia.
“Kementerian turut menggesa pihak berkuasa Sweden supaya mengambil tindakan drastik bagi bagi mengekang segala bentuk kekerasan dan kebensican terhadap Islam di negara tersebut,” kata kenyataan itu.
Insiden pembakan al-Quran itu terjadi pada 21 Jan lepas, ketika pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, Sweden.
Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).