Berita Semasa

Malaysia sedia tingkatkan kawalan ketenteraan di Beting Patinggi Ali

KUALA LUMPUR – Kehadiran kapal pengawal pantai milik China di perairan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak bukan satu bentuk pencerobohan kerana ia merupakan kawasan pertindihan.

Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan, kawasan perairan tersebut dituntut oleh kedua-dua belah pihak.

“Saya tidak menggunakan perkataan ‘menceroboh’ sebab kawasan ini kita sama-sama tuntut jadi tidak mengapa begitu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas melakukan tinjauan di tapak Projek Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Platinum South Valley, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Mohamad, Malaysia juga bersiap bersedia untuk meluaskan kawalan ketenteraan di perairan itu.

Katanya, kawalan tersebut bukan hanya membabitkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), malah turut mengerahkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tambahnya lagi, adalah penting untuk negara meletakkan aset ketenteraan di kawasan pertindihan itu bagi mengelakkan ia dianggap dimiliki negara lain.

“Kita mengawasi keadaan tentera laut dan tentera darat kita bersedia dan kita pun meletakan aset di sana supaya tidak menjadi Doktorin Estoppel yang bermakna tiada sesiapa yang menuntut bila kamu letak aset kamu di situ ia menjadi hak kamu.

“Ini kawasan pertindihan, masing-masing akan cuba untuk membuktikan itu kawasan mereka. Kita pun akan buktikan dengan meletakan aset di sana,” ujarnya lagi.

Ditanya mengenai kelengkapan aset ketenteraan yang diletakan di situ, Mohamad berkata, aset milik tentera Malaysia lebih daripada mencukupi.

“Lebih dari cukup” jelas beliau dengan ringkas.

Dalam pada itu, mengulas mengenai banjir di Johor yang semakin buruk, Mohamad berkata, MINDEF sentiasa bersiap siaga untuk terus membantu operasi di negeri itu.

“Kementerian Pertahanan selalu bersiap sedia, bagitahu apa yang kami nak bantu.

Itupun kami dah masuk dekat Kluang di sana, kalau nampak dalam TV ramai anggota yang sudah dikerahkan di kawasan itu,” jelasnya lagi.

Bencana banjir di Johor dilihat semakin buruk selepas mangsa banjir di negeri itu terus mencatatkan peningkatan pada hari ini dengan seramai 3,967 mangsa banjir daripada 1,104 keluarga ditempatkan di 41 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri itu.

Show More

Related Articles

Back to top button