
KPMC lancar wad pelancongan baharu, setaraf hospital elit
KAJANG – Pelancaran wad pelancongan baharu Kajang Plaza Medical Centre (KPMC) semalam dilihat mampu menarik minat pelancong khususnya dari benua Asia menerusi pelancongan perubatan atau lebih dikenali sebagai ‘medical tourism’.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KPMC, Datuk Saroni Judi, KPMC telah bersedia untuk membawa membawa masuk pelancong dari Riau, Indonesia.
Kata Saroni, inisiatif membawa masuk pelancong dari Riau tersebut telah mendapat sokongan daripada Gabenor Riau sendiri serta Selangor Tourism.
Tambahnya, Riau menjadi pilihan KPMC atas faktor saiz wilayahnya yang besar selain kedudukan geografinya yang sangat hampir KPMC dari Semenanjung Malaysia.
“Kami akan memberi rujukan kepada pesakit jika tiada kepakaran rawatan di KPMC kepada pusat perubatan lain juga dengan kualiti servis yang baik dengan harga berpatutan, kami takkan merujuk kes berkenaan ke pusat yang ada rekod tidak baik.
“Selain itu, jaminan layanan terbaik bermula daripada ketibaan mereka di lapangan terbang hingga ke hotel yang sudah berkolaborasi dengan KPMC, hanya penginapan terbaik yang disyorkan.
“Menerusi Tourism Selangor, Malaysia ada ketengahkan pilihan untuk pesakit luar negara dari wilayah Indonesia, untuk terima rawatan di Kuala Lumpur, Selangor.
“KPMC turut bekerjasama dengan UCMI dalam membantu menyediakan tenaga mahir dan latihan pendidikan,” katanya pada sidang media, semalam.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Wad Pelancongan Perubatan yang disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Melaka, Gabenor Tun Mohd Ali Mohd Rustam, semalam.
Yang hadir sama, Gabenor Riau, M Si Drs H Syamsuar; Pengerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datuk Md Nasier Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad; Naib Canselor Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Prof Dr Wan Azizi Wan Sulaiman dan delegasi dari Riau.
Untuk rekod, wad baharu tersebut telah mula beroperasi pada pertengahan Februari 2023 dan dinaiktaraf bagi memberi keselesaan dan pengalaman yang terbaik kepada pesakit sesuai dengan identiti KPMC Kajang sebagai salah sebuah pusat perubatan swasta.