Rusia perkukuh pertahanan udara Moscow
MOSCOW – Rusia dilaporkan mengukuhkan sistem pertahanan udaranya dengan memasang sistem Pantsir di beberapa buah bangunan strategik di bandar raya ini.
Langkah ini berikutan terdapatnya ancaman serangan udara menggunakan dron dari ‘pihak musuh’, kata portal Eurasian Times.
Beberapa gambar dan video yang dikongsikan pengguna media sosial menunjukkan sistem tersebut sudah dipasang di beberapa buah bangunan antaranya di Pusat Pengurusan Pertahanan Kebangsaan milik Kementerian Pertahanan dan juga Kementerian Pendidikan.
Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan Rusia belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai langkah tersebut.
Sebelum ini, Tentera Udara Ukraine pernah menyerang sebuah pangkalan udara strategik milik Rusia dengan menggunakan dron pada 5 Dis.
Moscow sememangnya sudah dilindungi sistem pertahanan udara antara yang terbaik di dunia, namun pemasangan sistem ini di anggap mengukuhkan lagi keupayaan pertahanan kerana Pantsir mampu mengesan sasaran yang lebih kecil seperti dron peninjau dan dron bunuh diri.