Berita Semasa

Kementerian Pertahanan batalkan lima perolehan terdahulu, laksana tender terbuka

CYBERJAYA – Kementerian Pertahanan telah membatalkan lima perolehan yang melibatkan bekalan dan perkhidmatan serta projek infrastruktur bagi dilaksanakan secara tender terbuka.

Kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya telah melaksanakan perolehan aset secara tender terbuka seperti mana keperluan bagi ketiga-tiga cabang perkhidmatan (Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia).

“Bermula tahun 2023, lima perolehan yang melibatkan bekalan dan perkhidmatan serta projek infrastruktur telah dibatalkan dan akan dilaksanakan secara tender terbuka.

“Ini selaras dengan dasar kerajaan pada masa ini yang mengutamakan ketelusan dan value for money,” kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak menamakan perolehan yang dibatalkan.

Tambah kenyataan itu lagi, kementarian mengambil perhatian serius terhadap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai ketirisan perbelanjaan yang disampaikan pada Majlis Dialog Belanjawan Negara 2023 pada Selasa lepas.

Dalam masa yang sama, Kementerian Pertahanan menegaskan, tidak akan berkompromi dengan sebarang ketirisan sepanjang perolehan kepada pihak yang melakukan salah laku demi kepentingan peribadi.

“Kementerian juga tidak akan teragak-agak untuk melaporkan sebarang ketirisan dan ketidaktelusan terhadap proses perolehan kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button