Berita Semasa

Lapan kedai makan di Astaka Jalan Perak musnah dijilat api

GEORGETOWN – Lapan kedai makan yang di Astaka Jalan Perak, di sini, musnah dijilat api dalam satu kebakaran pagi tadi.

Menurut Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Fadzil Mohamad, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 7.25 dan pihaknya menerima panggilan pada jam 7.30 pagi.

Katanya, 18 anggota bergegas ke tempat kejadian dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Paya Terubong.

“Ketika tiba di lokasi, didapati api sedang marak membabitkan lapan kedai makan di astaka itu.

“Bomba mengalami kesukaran ke tempat kejadian kerana kesesakan lalu lintas berikutan waktu puncak,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Fadzil berkata, api berjaya dikawal pada jam 7.41 pagi dan padam sepenuhnya 12 minit kemudian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya lagi.

Difahamkan kesemua gerai makan berkenaan beroperasi pada tengahari dan hanya ada dua pembantu kedai di situ ketika kejadian.

Menurut Zahuni Alwi, 43, dia berada di lokasi itu pada jam 6.30 pagi bagi membersihkan kedai.

“Saya menyedari api menyambar kedai makan di sebelah dan dalam keadaan panik, saya hanya sempat mengangkat dua tong gas,” katanya ketika ditemui.

Show More

Related Articles

Back to top button