Kadar OPR dijangka naik lagi bulan ini
KUALA LUMPUR – Standard Chartered Malaysia menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.00 peratus daripada 2.75 peratus, membalikkan langkah pemotongan kadar yang disebabkan oleh Covid-19.
Firma penyelidikan itu berkata pertumbuhan inflasi yang tinggi, melonjak dan meluas akan menyebabkan dasar monetari akan terus diperketatkan.
“Kami akan memerhatikan penilaian BNM terhadap pendirian dasar monetari yang akan memberi pencerahan mengenai seberapa hampir bank pusat itu untuk mengakhiri kitaran memperketatkan dasar,” katanya dalam satu nota hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan kekal kukuh di Malaysia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setahun penuh 2022 dijangka berada pada 8.8 peratus.
“Inflasi melonjak dan meluas, mencerminkan inflasi permintaan yang kukuh di tengah-tengah peningkatan gaji pembuatan dan perkhidmatan, walaupun gaji perkhidmatan masih lagi berada di bawah trend pertumbuhan jangka sederhana,” tambahnya.
Namun, Standard Chartered berkata, risiko peningkatan inflasi adalah kekal, dengan tekanan inflasi yang meluas, kenaikan kos perkhidmatan dan harga import yang masih tinggi.
“Susulan kemungkinan kenaikan pada Januari, kami menjangka ia berhenti pada Mac, sebelum satu lagi kenaikan 25 mata asas pada Mei, dengan menganggap kerajaan mengumumkan sebahagian pelarasan subsidi pada separuh kedua 2023.
“Jika subsidi ditarik balik kepada hanya 20 peratus pengguna RON95, kami menganggarkan inflasi utama akan meningkat hanya sebanyak 0.9 peratus mengikut asas tahunan,” tambahnya.