Bisnes & Ekonomi

PKNS lancar projek kediaman mampu milik baharu di Bandar Baru Bangi

BANDAR BARU BANGI – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini melancarkan projek kediaman mampu milik baharu di Seksyen 7, di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, pembinaan projek Intana Ria 3 itu adalah bagi memenuhi keperluan golongan muda dan profesional di Bangi dan kawasan sekitarnya.

“Kehadiran kami dalam membangunkan Bangi menjangkau 25 tahun dan merupakan salah satu kisah kejayaan PKNS dalam pembangunan perbandaran.

“Dengan pertumbuhan kawasan perindustrian yang pesat di sekitar Bangi selama ini, kami yakin pembangunan kediaman ini akan memberi nilai tambah kepada pusat perniagaan di Bangi dengan menyediakan kediaman kepada mereka yang baru berkeluarga dan berminat menjadikan Bangi sebagai pusat kediaman mereka,” katanya kepada Malaysia Tribune.

Mahmud berkata, projek itu dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM78 juta di kawasan seluas 2.82 ekar.

Mengulas lanjut, katanya, harga yang ditawarkan bermula daripada RM399,000 hingga RM423,000.

“Ini sekali gus meletakkan projek kediaman 13 tingkat dan mempunyai 200 unit ini sebagai pembangunan mampu milik dengan kepadatan rendah di dalam komuniti yang terkawal.

“Intana Ria 3 merupakan fasa akhir projek kediaman Intana Ria yang dibina oleh PKNS sejak tahun 1998 di Bandar Baru Bangi,” ujarnya.

Terdiri daripada saiz binaan seluas 906.86 kaki persegi untuk Jenis A1 dan A2, setiap unit mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik mandi dan peruntukan dua tempat letak kereta setiap satu.

Direka bentuk dengan konsep ruang terbuka, setiap unit menawarkan fleksibiliti yang lebih luas kepada satu keluarga dari segi penggunaan ruang yang ditunjukkan menerusi susun atur ruang tamu, ruang makan dan dapur yang luas.

Pintu masuk bilik dibina untuk menampakkan lebih privasi, manakala pencahayaan semula jadi dengan pengudaraan yang baik disepadukan melalui penempatan strategik tingkap di sekeliling unit, dengan siling yang tinggi.

Selain itu, kediaman ini turut dilengkapi dengan kemudahan seperti kolam renang, gimnasium luar, ruang musolla, bilik bacaan, dewan serbaguna dan taman permainan kanak-kanak yang boleh digunakan oleh semua penduduk.

Turut disediakan ialah kemudahan seperti sekolah, masjid, restoran, pusat perubatan dan pejabat kerajaan.

Bagi mereka yang ingin memiliki unit Intana Ria 3, kunjungi rumah pameran Intana Ria 3 semasa pelancarannya hari ini dan esok dari pukul 10 pagi hingga 4 petang.

Untuk maklumat lanjut, layari https://bit.ly/PKNSIntanaRia3 atau hubungi 03-5022 0189 / http://www.wasap.my/60109280187.

Show More

Related Articles

Back to top button