Ditolak masyarakat bandar, UMNO perlu kembali kepada kompas moral
KUALA LUMPUR – UMNO perlu kembali berpegang kepada ‘kompas moral’ yang selama ini menjadi teras perjuangan untuk memastikan parti itu terus diterima orang Melayu.
Perwakilan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) membuktikan penolakan besar-besaran oleh rakyat negara ini terhadap parti itu.
“Selama ini kita ada neraca pertimbangan dan kompas moral yang berpaksikan kepada nilai-nilai ajaran yang baik.
“Selagi kita berpegang teguh kepada kompas itu kita tidak akan tergelincir daripada perjuangan, sebab hala tuju kita adalah kebaikan untuk memimpin rakyat,” katanya ketika membahas ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung 2022 (PAU2022) di sini hari ini.
Bahkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Dong itu berkata, kepimpinan UMNO perlu sedar bahawa parti itu bukan lagi pilihan utama orang Melayu khususnya mereka yang tinggal di kawasan bandar.
Justeru beliau mendesak supaya UMNO menilai semula realiti hubungan parti itu dengan orang Melayu yang semakin rapuh.
Tidak seperti dahulu katanya, UMNO kini perlu berdepan dengan parti pesaing yang semakin dipercayai ramai.
“Suka atau tidak kita bukan lagi pilihan oleh orang kebanyakan. Mereka yang di bandar sudah lama meninggalkan kita. Kita tidak mampu lagi menawan hati orang-orang di bandar.
“Lebih cepat kita terima hakikat ini lebih baik,” kata Ketua Pemuda UMNO Bahagian Raub itu.