Politik

Muhyiddin saran kepada PM nasihat Nurul Izzah letak jawatan

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menasihati anaknya, Nurul Izzah untuk meletakkan jawatan sebagai Penasihat Kanan Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri bagi mengelakkan mereka daripada terus dikecam pelbagai pihak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, belum pernah dalam sejarah negara apabila seorang Perdana Menteri melantik anaknya sendiri sebagai penasihat untuk dirinya.

“Nasihatlah Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri.

“Saya percaya beliau seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar. Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya ini menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah. Ini pandangan saya sebagai rakyat biasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhyiddin lagi, tindakan Anwar itu menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

Malah katanya, lebih memburukkan keadaan apabila kerajaan PH-BN pimpinan Anwar tidak bermula dengan langkah yang betul dari awal lagi.

Katanya, janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini dilakukan semata-mata kerana membalas “budi” Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan “you scratch my back, I scratch your back”.

“Bukan setakat itu sahaja, janji Perdana Menteri tidak memegang jawatan Menteri Kewangan juga dibuang ke laut apabila Anwar melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Kewangan. Ini satu lagi kesilapan Anwar yang tanpa segan silu bercakap tak serupa bikin,” tegasnya.

Tegas Muhyiddin, Anwar belum terlambat untuk memperbaiki keadaan itu dengan meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan dan mengarahkan timbalannya bercuti.

“Masih belum terlambat untuk Anwar memperbaiki keadaan. Letak jawatan sebagai Menteri Kewangan. Fokus kepada tugas sebagai Perdana Menteri lebih-lebih lagi ketika rakyat dan negara sedang menghadapi waktu yang sukar.

“Lagipun skandal 1MDB tercetus apabila Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib, adalah juga Menteri Kewangan. Anwar tidak patut mengulangi kesilapan yang sama.

“Arahkan Zahid Hamidi supaya mengambil cuti sehingga kesnya selesai. Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan di mahkamah. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” ujarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button