Bisnes & Ekonomi

Syarikat penerbangan SAUDIA pindah operasi ke bangunan baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz

JEDDAH – Syarikat penerbangan Saudi Arabian Airlines (SAUDIA) merasmikan bangunan operasi yang baharu di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah, Arab Saudi.

Bangunan baharu itu telah dirasmikan oleh Timbalan Gabenor Mekah, Putera Badr Sultan Abdulaziz dan Gabenor Jeddah, Putera Saud Abdullah Jalawi selain Menteri Pengangkutan dan Perkhidmatan Logistik, Saleh Nasser al-Jasser dan Pengarah Urusan Kumpulan SAUDIA, Ibrahim al-Omar.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, bangunan itu dibina sepenuhnya oleh Saudi Airlines Real Estate Development Company (SARED) di kawasan seluas 50,000 meter persegi.

Katanya, bangunan setinggi dua tingkat itu boleh menampung lebih daripada 1,100 pekerja.

“Kami tidak sabar-sabar untuk melihat bangunan operasi SAUDIA yang baharu ini membantu menjadikan perkhidmatan penerbangan kami yang meliputi lebih dari 100 destinasi di empat benua, lebih menepati masa dan cekap berbanding sebelum ini.

“Infrastruktur baharu ini bukan sahaja dilengkapi dengan teknologi inovatif yang meletakkan kita sebagai peneraju utama dunia penerbangan, tetapi juga memenuhi keperluan SAUDIA dan pihak berkepentingan lain di seluruh lapangan terbang,” katanya.

Katanya lagi, bangunan baharu itu menempatkan pelbagai jabatan dan bahagian termasuk operasi Pusat Kawalan.

Ujarnya, ia adalah pusat terbesar seumpamanya di Asia Barat dan ke 12 terbesar di dunia.

Selain itu katanya, pusat itu juga akan berperanan untuk menyelaras perniagaan kumpulan, berkomunikasi dengan pesawat melalui kemudahan canggih dan mengesan trafik udara di semua lapangan terbang domestik dan antarabangsa.

Show More

Related Articles

Back to top button