Luar Negara

Rayuan tempoh tahanan Andrew Tate ditolak

Akibat dituduh lakukan jenayah terancang, rogol

ROMANIA – Mahkamah negara ini menolak rayuan dan mengekalkan tahanan 30 hari terhadap selebriti media sosial, Andrew Tate atas tuduhan jenayah terancang, pemerdagangan manusia dan rogol.

Memetik laporan Aljazeera, mahkamah di Bucharest menolak kesemua empat rayuan terhadap keputusan hakim pada 30 Disember lalu yang membenarkan permintaan pendakwa raya untuk melanjutkan tempoh penahanan.

Tate, 36, warga Britain-Amerika Syarikat (AS) ditahan pada 29 Disember lalu selama 24 jam bersama adik lelakinya, Tristan dan dua wanita rakyat negara itu.

Keputusan itu dibuat mahkamah berdasarkan kemungkinan mereka mengelak daripada penyiasatan yang diperlukan atau kemungkinan tertuduh meninggalkan Romania’.

Jurucakap agensi jenayah anti-organisasi Romania (DIICOT), Ramona Bolla berkata, enam mangsa dalam kes pemerdagangan manusia telah dikenal pasti dengan dakwaan berlakunya keganasan, penderaan fizikal dan mental serta eksploitasi seksual oleh anggota kumpulan jenayah yang didakwa itu.

Pendakwa raya yang menyiasat kes itu turut merampas 15 kereta mewah, sekurang-kurangnya tujuh daripadanya dimiliki oleh adik-beradik Andrew dan lebih daripada 10 hartanah atau tanah milik syarikat yang berdaftar dengan mereka.

Tate yang mempunyai 4.5 juta pengikut di Twitter dan tiga defendan lain tiba di Mahkamah Bucharest dalam keadaan bergari semalam.

Mereka menafikan salah laku melalui peguam mereka dan mencabar perintah penahanan 30 hari.

Tate yang menetap di Romania sejak 2017 dikenali melalui komentar dan forum yang lantang menyuarakan pendapat berhubung isu dunia.

Bekas peninju profesional itu juga dikenali melalui video tular yang memaparkan beliau memuji Islam sebagai satu-satunya agama yang logik untuk diterima sekiranya diberikan pilihan terakhir.

Show More

Related Articles

Back to top button