Politik

Pemuda UMNO mahu pengkhianat parti disingkirkan dengan segera

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mendesak ‘pengkhianat’ parti disingkirkan dengan kadar segera sebelum menjadi barah yang boleh merosakkan parti.

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau menyifatkan pemimpin sedemikian ibarat ‘api dalam sekam’ dan ‘gunting dalam lipatan’.

Katanya, pemimpin tersebut hanya mementingkan diri sendiri walaupun diberi peluang berkali-kali untuk menjadi calon mewakili parti ketika pilihan raya.

“Pemuda UMNO mendesak saki-baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi ‘api dalam sekam’, ‘gunting dalam lipatan’ dan mengutamakan diri sendiri supaya disingkirkan terus daripada menjadi ‘barah’ merosakkan seluruh organ dan jasad parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Persidangan Pemuda UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.

Selain itu, beliau juga menyelar tindakan segelintir pemimpin parti yang dengan terbuka berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan presidennya sendiri.

Tanpa menamakan pemimpin itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO menolak pemimpin terbabit yang mendakwa dirinya sebagai penyelamat dan mampu memulihkan parti.

“Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepemimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi.

“Sesetengah calon kita juga memilih untuk menjadi ‘hero’ dengan mencerca parti, dijaja kononnya mengundi beliau bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup, seolah-olah dialah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna dan paling hebat segala-galanya.

“Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepemimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button