Politik UMNO akan jadi wadah semak dan imbang dari dalam
KUALA LUMPUR – Walaupun sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan, UMNO beriltizam untuk menjadi wadah semak dan imbang yang benar-benar efektif.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan juga berikrar untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti yang lebih berwibawa, kompeten, berprestasi dan disegani.
“UMNO akan memainkan peranan dalam kerajaan dalam memperjuangkan dasar yang lebh baik, idea yang lebih bernas, amalan yang lebih telus dan pemikiran yang lebih pragmatik.
“UMNO akan memberikan alternatif yang lebih baik, bukan sekadar menabur harapan yang kemudian dimungkiri sesedap rasa,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, malam tadi.
Mohamad berkata, UMNO juga akan terus menjadi suara kepada perjuangan bangsa Melayu tanpa meminggirkan bangsa lain.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, UMNO juga akan melakukan perubahan ‘generasi’ dalam parti itu dengan tidak menjadikan ‘senioriti’ sebagai faktor untuk seseorang pemimpin terus berkuasa.
“Gerakan UMNO pasca PRU-15 ini akan berorientasikan data, kajian, ilmu baharu dan pendekatan termaju. UMNO harus membenarkan berlakunya perubahan generasi yang sangat diperlukan parti.
“Kita akan membenarkan parti ini untuk benar-benar digerakkan secara bermakna oleh generasi semasa, generasi yang lebih mengerti akan tuntutan dan keperluan terkini,” katanya.
Sementara itu, Mohamad terus mengingatkan kepada seluruh pemimpin supaya kembali bersatu dalam satu perjuangan jika tidak mahu ‘ditalkin’.
Katanya, PAU 2022 harus dijadikan peluang terakhir yang tidak boleh disia-siakan semua pemimpin UMNO untuk menentukan masa depan parti itu.