Berita Semasa

Pengambilan pekerja asing, kerajaan beri kelonggaran bersyarat

PUTRAJAYA – Kerajaan membuat keputusan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bagi bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan bersifat sementara itu bertujuan memudahkan proses pengambilan pekerja bagi mengisi kekosongan dalam sektor kritikal.

“Kemudahan dan kelonggaran yang dirangka ini bukanlah untuk tempoh selama-lamanya namun ia hanya bersifat ‘unprecedented’ (tidak pernah berlaku dahulu) bagi memenuhi keperluan pembangunan ekonomi negara,” kata Saifuddin.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing di Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan menteri kabinet lain.

Melalui pelan itu, majikan dibenarkan menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber berdasarkan kemampuan dan keperluan sebenar tanpa perlu melalui pra-syarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Kata Saifuddin lagi, mesyuarat khas tersebut turut memutuskan untuk meneruskan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga Disember tahun ini.

Jelasnya, tawaran rekalibrasi itu terbuka kepada semua pekerja asing yang tiada dokumen lengkap termasuk pendatang asing tanpa izin (Pati) yang tiada dokumen.

Katanya, program itu dilihat mampu menyediakan keperluan tenaga kerja daripada tenaga asing yang sudah berada dalam negara.

Seterusnya, beliau menambah, siri lawatan kerja delegasi Malaysia akan turut dilaksanakan ke negara sumber terpilih bertujuan untuk membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di Malaysia.

“Ini bagi memastikan negara sumber itu faham bahawa kita berharap untuk mudahkan proses pengambilan pekerja dan kita mohon mereka bantu, berdasarkan sistem dari negara mereka,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button