Berita Semasa

Kerana tamak pihak hotel di tanah suci pula ‘main kotor’

BANGI – Selain harga penginapan yang semakin meningkat, kos mengerjakan umrah semakin membebankan apabila ada segelintir hotel di Arab Saudi sanggup membatalkan tempahan untuk menawarkan harga lebih tinggi.

Demi meraih keuntungan berlipat ganda, pihak pengurusan hotel-hotel yang biasanya menempatkan para jemaah dikatakan sanggup membatalkan tempahan dan menukarkan mereka ke hotel lain.

Pendedahan mengenai perkara itu dibuat oleh Pensyarah Fiqh Fatwa Semasa di Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim melalui hantaran di Facebooknya, baru-baru ini.

“Saya baharu pulang. Benar pihak hotel main harga hingga sanggup batalkan tempahan bagi mengambil harga tawaran yang lebih lumayan dan tinggi.

“Makin melampau lagi apabila tempahan diambil daripada agensi pelancongan tetapi apabila jemaah semua telah sampai, mereka ubah perjanjian dan tukarkan jemaah ke hotel lain yang tidak menepati apa yang dijanjikan.

“Kalau tidak kerana Masjidil Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah, saya yakin tiada siapa nak ke Arab Saudi,” katanya yang baharu pulang daripada mengerjakan umrah.

Media tempatan sebelum ini melaporkan kenaikan harga pakej umrah oleh agensi pelancongan ekoran kenaikan mendadak harga penginapan di hotel di Mekah dan Madinah.

Show More

Related Articles

Back to top button