KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki mencuri barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Dis lepas.
Suspek berusia 27 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, semalam.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, akan membuat permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Kata Sasikala dalam satu sidang akhbar hari ini, susulan penahanan itu, polis turut merampas barangan yang dipercayai milik mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supt. Suffian Abdullah memaklumkan, pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook dipercayai daripada salah seorang ahli keluarga mangsa, yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch & Go milik mangsa.
Tragedi tanah runtuh pada 2.46 pagi itu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak, dan seorang bayi lelaki berusia setahun.