Berita Semasa

Sarawak tidak bercadang longgar syarat kemasukan warganegara dari Semenanjung

KUCHING – Sarawak tidak akan berkompromi kepada gesaan supaya melonggarkan syarat atau kuasa autonomi imigresen negeri itu seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menyatakan Sabah dan sarawak diberi kuasa menguruskan hal imigresen mereka sendiri.

Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan negeri masih tidak bersedia untuk berunding bagi melonggarkan syarat berkenaan sebaliknya akan terus mempertahankan perkara berkenaan.

“Ada perkara (dalam MA63) yang tidak boleh dibuat rundingan antaranya hak pemilikan tanah dan juga kawasan pelantar pesisir. Ia adalah hak negeri Sarawak yang tidak boleh dirunding dengan orang lain.

“Selain itu, ialah kuasa imigresen, di mana kerajaan juga akan terus pertahankan kuasa autonomi ke atas imigresen selain pertahankan kawasan sempadan negeri ini,” katanya pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, di Stadium Perpaduan di sini.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Armizan Mohd Ali berkata, dasar berhubung prosedur kemasukan mana-mana pihak ke Sabah dan Sarawak termasuk warga Semenanjung Malaysia ditentukan oleh kerajaan negeri-negeri berkenaan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim yang meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyelesaikan isu kemasukan rakyat Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang masih memerlukan pemeriksaan imigresen.

Selain itu, setiap warga Semenanjung yang memasuki negeri itu juga diberikan pas lawatan sosial yang hanya membenarkan seseorang tinggal tidak lebih daripada 90 hari di negeri itu.

Penyalahgunaan pas berkenaan untuk tujuan bekerja tanpa permit juga menjadi satu kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, peraturan 39(b).

Mengikut MA63, Sarawak diberi kuasa untuk melarang atau menidakkan kemasukan orang-orang yang disyaki boleh menganggu ketenteraman atau keselamatan negeri, seperti yang pernah dikenakan kepada beberapa orang pemimpin sebelum ini.

Sarawak dapat mengawal kemasukan orang-orang yang merbahaya seperti penjenayah-penjenayah dikehendaki polis di Semenanjung dan Sabah, supaya tidak memasuki Sarawak.

Show More

Related Articles

Back to top button