Berita Semasa

KJAM cipta rekod tawan 14 puncak gunung tertinggi di Malaysia dalam tempoh 87 hari

KUALA LUMPUR – Kelab Jelajah Alpine Malaysia (KJAM) menutup kalendar 2022 dengan rekod terbaharu iaitu pendakian 14 puncak gunung tertinggi di Malaysia dalam tempoh kurang 100 hari.

Pendakian dilakukan oleh Presidennya, Muhammad Illaham Ishak, 46, menerusi projek pendakian khas KJAM yang merujuk kepada Malaysia Book of Record iaitu ’14 Peaks Malaysia’.

Menurut satu kenyataan KJAM, pendakian Muhammad Illaham dibantu oleh beberapa pendaki sokongan yang bertukar-tukar bagi setiap gunung yang didaki.

“Pendakian bermula di Gunung Tambuyukon, Sabah pada 12 September 2022 dan berakhir di Gunung Mulu, Sarawak pada 4 Disember 2022.

“Ia mengambil masa selama 87 hari, menepati perancangan awalnya untuk berakhir dalam tempoh kurang 100 hari pendakian.

“Gunung-gunung yang didaki adalah 7 gunung tertinggi di kepulauan Borneo atau Seven Summits Borneo dan 7 gunung tertinggi di Semenanjung,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pendakian dibahagikan kepada 3 fasa iaitu Fasa 1 membabitkan pendakian 5 Puncak Tertinggi Borneo di Sabah iaitu di Gunung Tambuyukon (12 September), Gunung Trusmadi (18 September), Gunung SingSing (21 September), Gunung Kaingaran (21 September) dan Gunung Kinabalu (24 September).

“Fasa 2 pula membabitkan pendakian 7 Puncak tertinggi di Semenanjung iaitu Gunung Tahan, Pahang (30 September), Gunung Chamah, Kelantan (13 Oktober), Gunung Yong Belar, Perak (15 Oktober), Gunung Gayong, Perak (17 Oktober), Gunung Korbu, Perak (17 Oktober), Gunung Yong Yap, Perak (24 Oktober) dan Gunung Ulu Sepat, Perak (26 Oktober).

“Manakala Fasa 3 membabitkan pendakian di 2 Puncak tertinggi Borneo di Sarawak iaitu Gunung Murud (1 November) dan Gunung Mulu (4 Disember),” ujarnya.

Jelas Muhammad Illaham, pelbagai cabaran dilaluinya bagi menjayakan pendakian yang berterusan selama 87 hari itu.

Antaranya, cuaca yang tidak menentu seperti hujan lebat membuatkan pendakian terutama di Sabah amat sejuk dan basah sehingga kaki salah seorang pendaki sokongan dijangkiti ulat air dan tidak dapat meneruskan pendakian.

Selain itu, katanya, laluan pendakian yang curam dan arus sungai yang deras di Gunung Tahan dan Gunung Mulu.

“Semasa pendakian di Perak, saya mendapat berita mengenai larangan pendakian semua gunung di negeri itu pada 1 November dan itu menyebabkan tempoh misi pendakian saya hanya ada kurang 30 hari untuk melengkapkan pendakian 7 puncak di Semenanjung.

“Saya juga berdepan risiko laluan haiwan liar seperti gajah di Gunung Chamah, Kelantan, ancaman harimau di Perak, binatang berbisa di Sabah dan Sarawak.”

Selain itu katanya, tempoh pendakian yang berterusan selama hampir 3 bulan itu turut memberi kesan dari segi pemulihan badan yang boleh mengundang kecederaan.

“Saya juga menghadapi cabaran dalam mengurus logistik dengan keadaan muka bumi yang mencabar untuk memasuki kawasan pedalaman di Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

“Pelbagai kenderaan digunakan termasuk kenderaan 4×4 hinggalah ke kapal terbang untuk ke pedalaman di Sarawak.”

Tambah Muhammad Illaham, beliau melaksanakan misi itu dengan mengambil inspirasi pendakian berterusan 14 Gunung 8,000 meter di dunia oleh pendaki Nepal, Nims Dai, yang menjadi manusia pertama menamatkan pendakian itu dalam tempoh hanya 7 bulan berbanding 7 tahun paling cepat pernah dilakukan sebelumnya.

“Di Malaysia juga ada cabarannya iaitu pendakian 14 puncak hutan hujan khatulistiwa ataupun “Tropical Rain Forest” yang terkenal dengan cabaran yang tidak kurang hebat yang biasanya pendaki menghabiskan pendakian dalam tempoh 2 hingga 5 tahun, tetapi kita berjaya juga menamatkannya dalam masa kurang 3 bulan.”

Misi pendakian ’14 Peaks Malaysia’ dalam tempoh 87 hari itu kata Muhammad Illaham, akan dibukukan untuk memberi panduan dan maklumat kepada pendakian gunung di negara ini.

Selain mencatat rekod menamatkan pendakian 14 puncak paling pantas, misi 14 Peaks Malaysia’ itu juga melakar dua lagi rekod iaitu pendakian 7 puncak tertinggi Sabah (Sabah 7Summits) dalam tempoh 14 hari dan pendakian 7 puncak tertinggi di Semenanjung (G7 Malaya) dalam tempoh 30 hari.

Untuk rekod, Muhammad Illaham pernah menawan puncak Everest laluan Tibet pada 2011 dan Everest laluan Nepal pada 2013 selain berjaya menawan puncak tertinggi benua Eropah iaitu Gunung Elbrus sebanyak 7 kali.

Beliau juga berjaya ke puncak tertinggi benua Afrika iaitu Gunung Kilimanjaro sebanyak 2 kali dan puncak tertinggi benua Australasia iaitu Gunung Carstensz Pyramid di wilayah Papua, Indonesia.

“Saya bagi pihak KJAM ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan misi pendakian ini khususnya Penasihat kelab, Zainudin Lot, Penasihat Projek, Mohamad Khairi Mohamad@Alwi dari UUM, Khairul Hasriman Mat Aripin MGP Perak dan Pengurus Taman-Taman Sabah, Justinus Guntabid

Sebagai tanda kenangan misi pendakian bersejarah ini, KJAM turut menjual baju-T khas yang boleh dibeli oleh sukan mendaki gunung di laman Facebook Alpine Club Malaysia.

“Saya juga mengalu-alukan dan berharap ada pendaki-pendaki lain yang dapat mendaki 14 puncak ini dengan rekod baharu yang lebih pantas dan lebih teratur sekaligus dapat mempromosi dan meningkatkan industri sukan mendaki hutan hujan Khatulistiwa di negara ini dalam kalangan pendaki tempatan dan luar negara,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button