PendapatRencana

2023 : Elak bencana penyampaian perkhidmatan

1. Kita menutup 2022 dan membuka 2023 dengan kehadiran bencana. Bencana ini sememangnya ujian. Ia menguji semua sama ada yang mengalaminya secara langsung atau tidak. Demikianlah hebatnya Allah. Semua orang mempunyai bahagian ujian masing-masing dengan satu gerakan ketentuan-Nya.

2. Pemimpin politik juga diuji ketika bencana ini. Mereka perlu lulus dalam ujian persepsi yang sentiasa menjadi subjek wajib bagi mereka. Jika mereka tidak kelihatan, maka akan disangka mereka sedang berlibur diluar negara. Namun sebaliknya sekiranya mereka sentiasa kelihatan dengan pelbagai aksi bantuan, maka akan dinilai bahawa mereka ini terlalu loba perhatian.

3. Dalam hal seperti inilah pentingnya seseorang pimpinan politik bijak mencipta ruang dan peluang yang seimbang tersebut. Satu cara yang paling efisyen,berkesan, tinggi markah persepsi dan dalam banyak keadaan tidak menambah kos kepada mereka adalah melalui penglibatan Jabatan/agensi Kerajaan dalam penyaluran bantuan.

4. Pengalaman turun membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu bersama-sama pasukan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dari 22-25 Disember 2022 telah membenarkan pengamatan ini.

5. Dengan kekuatan anggota sekitar 100 orang dari Putrajaya, Kelantan dan Terengganu serta bantuan melebihi 20 tan yang terdiri daripada bahan makanan sedia dimakan , keperluan kebersihan diri, selimut tebal, lampin pakai buang untuk bayi dan orang dewasa serta tuala wanita dan lain-lain barangan, kami menelusuri segenap kawasan yang dilanda banjir.

6. Dari Pasir Mas hingga ke Pasir Puteh dan dari Besut hingga ke Paka kami redahi semuanya sama ada dengan bot, berjalan kaki, atau menaiki kenderaan pacuan 4 roda dengan tujuan untuk bertemu mata dengan mangsa, menyampaikan bantuan, membantu proses pembersihan awal dan menyampaikan mesej sokongan dan dorongan. Semua itu adalah Uslub Dakwah yang YADIM dukungi.

7. Walaupun bantuan ini tidaklah sebesar, sebanyak dan semewah agensi lain, namun kami turun dengan pakej yang menyeluruh dari segi bantuan material, sumbangan tenaga fizikal dan pengisian spiritual. Mungkin disebabkan itulah maka di setiap lokasi yang disinggahi, pelbagai pemimpin hadir bersama kami.

8. Kehadiran mereka ini bukanlah asing bagi kami kerana demikianlah kod etika YADIM ketika melaksanakan sebarang program lapangan. Masuk rumah orang, perlu diberi salam dan melalui pintu depan bukan melalui jalan belakang.

9. Namun komplikasi sering timbul apabila program dilaksanakan di negeri atau kawasan yang pemimpinnya tidak sealiran dengan parti yang menguasai Kerajaan Persekutuan. Seolah-olah menjadi taboo kepada agensi untuk berada sepentas atau semajlis dengan kepimpinan yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan. Sejarah pernah membuktikan sebelum ini, ada yang diberi amaran, ditukar bahkan tidak disambung perkhidmatan selepas melanggar pantang ini.

10. Tauladan baru kepimpinan Kerajaan semasa yang cuba ditonjolkan oleh Perdana Menteri dengan merangkul kesemua lapis kepimpinan tanpa batas sempadan politik yang memisah sebenarnya masih canggung untuk dibudayakan.

11. Misalnya semasa tiba di satu kawasan di Besut, saya dimaklumkan kepimpinan tempatan dari Parti yang memimpin negeri dan juga kepimpinan parti yang sealiran dengan Persekutuan ingin hadir bersama dan masing-masing cuba mempengaruhi kami agar tidak menerima pihak yang lain hadir. Pegawai YADIM negeri agak resah dengan situasi ini kerana ini meletakkan kami dalam suasana yang serba salah. Akhirnya saya membuat keputusan, semua yang ingin hadir, dipersilakan hadir namun yang berucap hanya YADIM sahaja. Penyampaian sumbangan kepada hadirin juga hanya diserahkan oleh YADIM dengan diiringi oleh setiap kepimpinan yang hadir. Sidang media juga hanya dilakukan oleh YADIM sahaja. Walaupun ini tidak memuaskan hati semua pihak, namun penghujungnya, matlamat utama program untuk penyampaian bantuan terlaksana, kesemua pihak yang berkepentingan dapat hadir dan agensi dapat melaksanakan tugas hingga selesai. Itu contoh kecil Kerajaan Perpaduan bagi kami.

12. Pertembungan budaya lama dengan realiti baharu ini memerlukan anjakan paradigma segera seperti yang dipertegaskan oleh Perdana Menteri dalam amanat tahun baharu di Masjid Putra. Jika pada zaman sebelum PRU 15, mantra berkhidmat kepada “ Government of the day” yang sering diulang-ulang oleh kepala-kepala dalam perkhidmatan awam lebih mudah diterjemahkan kerana garis pemisah itu lebih jelas.

Namun pasca PRU 15, mantra ini memerlukan tafsiran yang lebih progresif kerana matriks pemegang taruh lebih kompleks dan sangat tidak tetap, sesuai dengan realiti baru politik gabungan pasca pilihanraya.

13. Budaya “cancelling” atau membatalkan pihak tidak sealiran tidak lagi dilihat sesuai dengan realiti semasa apatah lagi atas semangat dakwah. Dalam masa yang sama, “ownership” kepada program dan inisiatif oleh pihak yang memegang tampuk pemerintahan juga perlu dipastikan bagi mengelakkan timbul salah faham rakyat dan sikap mengaku kepunyaan atau “claim” oleh mereka yang tidak sepatutnya dari berlaku.

14. Sebagai penyelesaian kepada dilema ini, agensi Kerajaan menjadi terlebih mustahak memainkan peranan sebagai “neutralizing agent” dalam situasi ini. Dalam kerangka Kerajaan Gabungan, peranan ini bukanlah sesuatu yang asing.

15. Dalam hal ini, pengalaman dibeberapa buah negara terutama sekali United Kingdom yang merupakan rujukan utama demokrasi Malaysia boleh ditelusuri. Dokumen bertulis “ Programme for Government” yang dirangka ketika terbentuknya Kerajaan Konservatif dan Liberal Demokrat pada tahun 2010 boleh diambil beberapa istifadah.

16. Antara tunjang bagi memastikan mekanisme ini berfungsi dengan baik ialah pemerkasaan fungsi penjawat awam. Ini bermaksud Penjawat Awam, berdasarkan hirarki yang sedia ada perlu memainkan peranan sebagai perantara dan bukan lagi dipergunakan seperti bidak-bidak catur yang hanya boleh berada dalam pasukan hitam atau putih sahaja seperti sebelum ini.

Playbook baharu penjawat awam harus ditulis dan diamalkan segera bagi memastikan 2023 tidak bermula dengan bencana yang lebih besar; Bencana kecelaruan jentera penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Oleh: Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malaysia Tribune.

Show More

Related Articles

Back to top button