PENDAPATRENCANA

AI di menara gading: Manipulasi kecerdasan buatan oleh mahasiswa universiti

Oleh PROF MADYA DR KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR & DR MAD ITHNIN SALLEH

ARTICIAL Intelligence (AI) atau Kecerdasan Buatan bukan lagi sekadar cerita futuristik dalam drama Netflix atau filem sains fiksyen.

Kini, AI sudah pun menjadi ‘penghuni tetap’ bilik kuliah di institusi pengajian tinggi, merentasi pelbagai bidang pengajian.

Namakan saja dari kejuruteraan, sains sosial, undang-undang, perubatan, pengurusan sehinggalah ke seni kreatif.

Mahasiswa dan pensyarah kini berhadapan dengan satu fenomena baharu dalam ekosistem pembelajaran iaitu kehadiran AI sebagai alat, pembantu, rakan belajar dan dalam sesetengah kes, sebagai ‘penyelamat saat akhir’ ketika menyiapkan tugasan.

Teknologi AI semakin signifikan dalam urusan seharian kehidupan manusia zaman ini. – Gambar hiasan

Dalam era di mana maklumat hanya satu klik sahaja jauhnya, AI telah mengubah cara pelajar mencari jawapan, memahami konsep dan menyiapkan tugasan.

Aplikasi seperti ChatGPT, Grammarly, Copilot dan lain-lain kini menjadi alat popular yang membantu pelajar menulis esei, merumuskan artikel akademik, mencadangkan idea projek, malah menjawab kuiz dalam talian.

Ini semua berlaku dalam tempoh yang sangat singkat iaitu hanya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Trend itu disokong oleh pelbagai laporan global.

Menurut kajian World Economic Forum (2024), lebih 60 peratus universiti di dunia kini telah mengintegrasikan elemen AI dalam proses pembelajaran mereka sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Di Malaysia pula, beberapa universiti terkemuka seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sedang meneroka penggunaan AI dalam sistem tutor maya dan penyelidikan kendiri pelajar.

Ini menunjukkan AI bukan lagi pilihan, tetapi satu realiti dalam pendidikan tinggi.

Namun, adakah kehadiran AI ini benar-benar memperkayakan proses keilmuan atau hanya menjadikan pelajar lebih ‘pandai segera’ tetapi kurang faham secara mendalam akan ilmu yang dipelajarinya?

Dalam satu kajian oleh Chen et al. (2023), pelajar yang menggunakan AI secara berlebihan untuk menyiapkan tugasan menunjukkan penurunan dalam keupayaan menyelesaikan masalah sebenar serta berfikir secara kritis.

Ini kerana AI, meskipun canggih, hanya menghasilkan jawapan berdasarkan corak data sedia ada dan tidak menggantikan proses pemikiran manusia yang bersifat reflektif dan analitikal.

Dari sudut ilmiah, ada dua kelompok pandangan utama.

Golongan mahasiswa perlu bijak menggunakan teknologi untuk meningkatkan pengetahuan diri dan meraih kejayaan yang diimpikan. – Gambar hiasan

Satu pihak berpandangan AI adalah alat yang sangat berguna kerana ia mempercepatkan proses pembelajaran, memperluaskan capaian ilmu dan membantu pelajar belajar mengikut kadar serta gaya mereka sendiri.

Ini terutama bermanfaat kepada pelajar yang mempunyai gaya pembelajaran visual, kinestetik atau yang mempunyai cabaran pembelajaran.

Sebaliknya, ada juga sarjana yang menyuarakan kebimbangan bahawa AI boleh melemahkan usaha dan kreativiti pelajar.

Apabila pelajar terlalu bergantung kepada AI, mereka mungkin tidak lagi melihat nilai dalam mengkaji buku, berdiskusi dengan rakan atau mencari penyelesaian melalui pengalaman sebenar.

Situasi ini amat dirasai dalam subjek-subjek umum yang menuntut pemikiran aras tinggi seperti etika, falsafah, sejarah, kemasyarakatan, ekonomi dan sains kemanusiaan.

AI mampu menjawab soalan-soalan faktual, tetapi tidak mampu menyelami nuansa nilai, konteks budaya atau dimensi spiritual yang penting dalam pembentukan manusia holistik.

Dalam bidang sains dan teknologi pula, AI boleh membantu pelajar menjana kod atur cara, menghasilkan reka bentuk atau menjalankan simulasi, tetapi jika tidak difahami logiknya, pelajar mungkin hanya sekadar ‘menyalin dan menampal’ hasil tanpa memahami prinsip asasnya.

Dari perspektif Islam, persoalan ini perlu dilihat bukan sekadar dari sudut teknikal tetapi juga nilai dan adab dalam menuntut ilmu.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Mujadilah ayat 11 bermaksud: “Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat.”

Ayat ini menunjukkan bahawa ilmu itu mulia bukan hanya kerana hasilnya, tetapi juga kerana proses mencarinya dengan sabar, jujur dan bersungguh-sungguh.

Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Tirmizi juga menyebut: “Barang siapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke syurga.”

Dalam konteks ini, AI boleh dianggap sebagai alat yang memudahkan jalan itu, tetapi ia tidak sepatutnya mengambil alih sepenuhnya usaha pelajar.

Kesungguhan menuntut ilmu perlu disertai dengan niat yang jelas.

Keberkatan ilmu tidak datang daripada hasil semata-mata, tetapi daripada kesungguhan, proses dan adab dalam menuntutnya.

Bagi institusi pengajian tinggi, cabaran utama kini adalah memastikan penggunaan AI berlaku dalam acuan nilai dan tanggungjawab.

Pensyarah perlu diberi latihan bagaimana untuk mengintegrasikan AI secara bijaksana, bukan sekadar menyerahkan semuanya kepada sistem pintar.

Dalam masa yang sama, pelajar perlu dibimbing agar tidak tergelincir daripada landasan akademik dan akhlak.

Penilaian berbentuk lisan, projek lapangan, kerja berkumpulan dan perbincangan kritikal perlu diperbanyak agar AI tidak menjadi satu-satunya tempat bergantung.

Akhirnya, kita perlu ingat bahawa teknologi hanyalah alat. Ilmu sebenar lahir daripada pemikiran yang mendalam, interaksi yang ikhlas, dan pencarian yang tulus.

AI mungkin boleh membantu kita lulus peperiksaan, tetapi hanya manusia yang mampu memahami makna, nilai dan hikmah di sebalik ilmu.

Maka, dalam kita menyambut kehadiran AI ke dalam dunia pendidikan, jangan sampai kita kehilangan roh pembelajaran yang sebenar.

Penulis merupakan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam (ISI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)

Dr Khairunneezam (kiri) dan Dr Mad Ithnin

* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button