AgamaRencana

Bekas doktor kongsi pengalaman jaga aurat ketika pembedahan

MENJAGA aurat bagi wanita adalah satu kewajipan dalam Islam, tidak kira dalam keadaan sihat mahupun sakit.

Selagi ada kekuatan, setiap wanita Muslim perlu berusaha menjaga aurat sebaiknya.

Namun, apabila berhadapan dengan situasi darurat seperti menjalani rawatan perubatan atau pembedahan, ramai yang menganggap bahawa batasan aurat boleh diabaikan sepenuhnya.

Hakikatnya, Islam memberikan kelonggaran hanya dalam keadaan benar-benar terpaksa dan masih mengutamakan usaha untuk menutup aurat semampu mungkin.

Perkongsian Nur Hanisah mengenai pengalamannya berusaha menjaga aurat ketika menjalani pembedahan melahirkan anak di laman Facebook beliau.

Menerusi satu hantaran di Facebook, seorang bekas doktor perubatan berkongsi pengalamannya menutup aurat ketika menjalani pembedahan untuk melahirkan bayi kembarnya baru-baru ini.

Menurut Dr. Nur Hanisah Zainoren, penulis buku Doktor Cinderella, ketika hendak dibawa ke dewan bedah (OT) Hospital Besar Melaka, beliau sempat bertanya kepada jururawat yang bertugas.

“Kak, boleh tak saya nak pakai tudung pergi OT?

“Tak boleh, dik. Boleh pakai OT cap ini saja,” balas jururawat tersebut.

Akur dengan jawapan tersebut, Nur Hanisah lantas menyarungkan saja OT cap itu.

Gambar menunjukkan tudung OT yang dipakai Nur Hanisah ketika pembedahan dilaksanakan.

Namun, apabila di luar bilik, ada doktor houseman lelaki, beliau bertindak melilit leher dengan tudungnya dan meminta izin sekali lagi kepada jururawat.

“Kak, kalau saya lilit macam ni, boleh? Nanti sampai sana, akak ambillah tudung saya.”

Apabila jururawat bersetuju dengan cadangannya, beliau terus menyarungkan tudungnya semula dan meminta dibuka apabila sampai ke OT.

Dan benarlah, niat yang baik pasti mendapat bantuan Allah.

Apabila tiba di OT, beliau disambut oleh seorang doktor dan staf nurse. Melihat keadaannya yang masih memakai tudung, doktor menyedari niat pesakitnya itu.

Patient nak pakai tudung, ya? Nah, bagi dia ni,” kata doktor sambil menghulurkan kepada Nur Hanisah tudung OT berwarna pink.

Ya, tudung OT sebenarnya wujud di kebanyakan hospital di Malaysia.

Malah, menurut Nur Hanisah, di hospital tempat beliau bertugas sebagai doktor houseman dahulu pun ada.

“Masya-Allah, seronoknya! Lega-seleganya hati saya. Terima kasih, Ya Allah. Kau pelihara auratku.

“Saya tulis kisah ini dengan niat memberi kesedaran kepada sesiapa yang mungkin bakal masuk dewan OT suatu hari nanti, cubalah request untuk dapatkan tudung OT.

“Cubalah juga untuk jaga aurat semampu kita. Jangan jadikan alasan sakit sebagai greenlight untuk kita dedah aurat,” pesannya kepada lebih 29,000 pengikut beliau di Facebook.

Selain mengingatkan tentang menjaga aurat, Nur Hanisah juga sentiasa berpesan supaya menjaga solat meskipun ketika sakit.

Nur Hanisah sebelum  ini merupakan seorang doktor di sebuah hospital kerajaan, namun membuat keputusan untuk berhenti dan kini menceburi bidang perniagaan selain aktif menulis buku.

Kedua-dua bayi kembar yang dilahirkan pada 9 Mac lalu masih berada di bawah pemantauan Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital tersebut.

Hakikatnya dalam dunia perubatan masa kini, kesedaran tentang kepentingan menjaga aurat semakin meningkat dan pesakit juga boleh memainkan peranan dalam memastikan kehormatan diri tetap terpelihara.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nur, ayat 31 yang bermaksud:

“Dan katakanlah kepada wanita yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali yang (biasa) terlihat daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya.”

Sesungguhnya Allah SWT memelihara hamba-Nya yang berusaha menjaga maruah dan kehormatan diri.

Semoga kisah ini menjadi inspirasi kepada semua dalam perihal menjaga aurat, di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button