
Masih terlalu awal untuk namakan calon PRU akan datang – PKR Ampang
AMPANG – Masih terlalu awal untuk menamakan calon bagi kerusi Parlimen Ampang pada Pilihan Raya Umum akan datang.
Ketua Cabang PKR Ampang, Syed Ahmad Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata, keputusan mengenai pencalonan hanya akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi parti, selaras dengan tradisi demokrasi parti.
“Pencalonan tidak terikat kepada alamat tempat tinggal, keanggotaan cawangan atau jawatan dalam parti, tetapi mesti mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau kemudiannya berkata, kekuatan cabang terletak pada kepelbagaian idea, tenaga dan komitmen daripada ahli pelbagai latar belakang yang bersatu di bawah kepimpinan berprinsip.
Baru-baru ini, cabang Ampang menjadi tumpuan selepas Datuk Seri Tengku Zafrul disahkan sebagai ahli cabang berkenaan.
Pada 8 Ogos, Zafrul mengesahkan bahawa permohonannya untuk menyertai PKR telah diterima.
Tengku Zafrul yang sebelum ini merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua Bahagian Kota Raja, meletakkan jawatan daripada UMNO pada Mei lalu sebelum memohon menyertai PKR.
Langkah itu mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan hasrat beliau untuk bertanding di kawasan tersebut.
Altimet bagaimanapun menolak spekulasi awal mengenai pencalonan, sambil menggesa ahli memberi tumpuan kepada penglibatan di peringkat akar umbi serta melaksanakan agenda Reformasi yang dibawa Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya yakin, proses pemilihan akan dijalankan secara telus, adil, dan mengambil kira pandangan daripada semua peringkat parti.
“Keutamaan utama kami (sekarang) adalah mengukuhkan kerja di peringkat akar umbi dan memastikan kebajikan rakyat terpelihara,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |