BERITA SEMASA

Tidak semua warga SMKA Tun Datu Mustapha bersalah, guru harap empati untuk calon SPM

KUALA LUMPUR – Di sebalik kemelut kes kematian tragis Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, seorang guru mengingatkan agar tidak semua warga Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha dipersalahkan.

Abdul Muiez Ruslee menerusi hantaran di Facebook berkata, hanya pihak yang benar-benar terbukti bersalah wajar diadili, manakala warga sekolah lain memerlukan sokongan untuk meneruskan pembelajaran seperti biasa.

Abdul Muiez berharap masyarakat mempunyai rasa empati terhadap calon SPM di SMKA Tun Datu Mustapha.

“Adik Zara sudah ‘kembali ke dunia’ untuk ‘menceritakan’ kisah sebenar. Harapnya, apa sahaja keputusan selepas ini, kita terima dengan reda,” katanya.

Beliau memaklumkan, calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah berkenaan kini sedang menduduki peperiksaan percubaan dalam suasana emosi yang mencabar.

“Saya yakin cikgu-cikgu dan murid-murid perlukan bantuan psikologi serta sokongan emosi daripada semua pihak. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga telah berusaha membantu melalui Smart Support Team,” ujarnya.

Abdul Muiez turut mengajak masyarakat memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengutamakan doa untuk kesejahteraan pelajar sekolah tersebut.

“Tugas kita sekarang ialah mendoakan agar calon SPM sekolah itu dapat bertenang, mengawal emosi untuk berhadapan ujian ini serta ujian lebih besar bermula 25 November nanti,” katanya.

Semalam, kubur Allahyarhamah Zara Qairina digali semula atas arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi melengkapkan siasatan polis berhubung punca kematiannya.

Proses bedah siasat selesai sekitar pukul 8 malam sebelum jenazah dibawa pulang ke Sipitang untuk dikebumikan semula pada malam yang sama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button