BERITA SEMASA

Tidak puas hati kereta dipotong punca serangan di Genting Highlands

BENTONG – Tidak puas hati di jalan raya dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak menyerang dan mencederakan pemandu lain di Kilometer 10.3 Jalan Genting Highlands arah turun, di sini, pada Ahad lalu.

Kejadian yang dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) itu tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, insiden berlaku pada pukul 9 pagi ketika mangsa, lelaki berusia 32 tahun, dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Subang Jaya.

Menurutnya, siasatan mendapati kereta suspek dipandu secara berbahaya termasuk membrek mengejut dan menghalang laluan mangsa.

“Mangsa berjaya memotong, namun suspek kemudian mengejar dan melanggar bahagian belakang kereta mangsa.

“Mangsa memberhentikan kenderaan dan secara tiba-tiba suspek menyerang dengan menumbuk muka serta mencederakan leher mangsa.

“Dua rakan mangsa, masing-masing lelaki dan wanita berusia 22 tahun, cuba meleraikan pergaduhan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Susulan itu, polis menahan suspek berusia 24 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada hari sama dan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Zaiham turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button