
Ranking Dunia BWF: DinFei hilang takhta No.1, Aaron-Wooi Yik kembali terajui beregu negara
KUALA LUMPUR – Hasrat pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani untuk terus mempertahankan kedudukan sebagai beregu lelaki No.1 dunia tidak kesampaian apabila mereka dipintas gandingan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae, susulan kekalahan pada aksi final Terbuka Jepun, semalam.
Beregu yang mesra dengan gelaran DinFei itu kini menghuni tangga ketiga dunia, menurut kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan hari ini.
Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang mula mencuri tumpuan sejak kembali bergandingan semula selepas perpisahan singkat pada 2023, menampilkan aksi konsisten sepanjang musim ini sehingga berjaya merampas ranking No.1 dunia sebelum ini.

Ia merupakan satu pencapaian bersejarah buat mereka sebagai pasangan profesional bebas tanpa sokongan rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, gandingan utama kebangsaan dan pemenang pingat emas Kejohanan Dunia 2022, kembali menjadi beregu No.1 negara apabila mereka kekal di kedudukan kedua dunia.
Satu lagi pasangan negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, pula kekal di ranking ketujuh dunia, menjadikan Malaysia memiliki tiga wakil dalam kelompok 10 beregu lelaki terbaik dunia.
Arif Junaidi-Yap Roy King, satu lagi pasangan muda negara, berada di kedudukan ke-24 dunia.
Dalam senarai beregu profesional bebas, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong menunjukkan peningkatan prestasi apabila masing-masing melonjak ke tangga ke-28 dan ke-25 dunia.
Bagi kategori beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah kekal sebagai antara sandaran utama negara selepas mengekalkan kedudukan No.3 dunia, meskipun hanya muncul naib juara di Terbuka Jepun minggu lalu.
Dalam acara perseorangan lelaki, Leong Jun Hao turun dua anak tangga ke kedudukan ke-26 dunia, manakala Lee Zii Jia, bekas juara Asia 2022 jatuh ke tangga ke-33 dunia selepas tidak beraksi dalam kejohanan sejak Mac lalu kerana kecederaan buku lali.
Bagaimanapun, Zii Jia masih memiliki ranking protection di kedudukan kesembilan dunia yang diaktifkan sejak Mac lalu, membolehkannya menyertai semula kejohanan Jelajah Dunia apabila kembali pulih sepenuhnya.
Sementara itu, dalam acara beregu campuran, tiada perubahan ketara apabila Chen Tang Jie-Toh Ee Wei kekal di ranking keempat dunia, diikuti Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (No. 6) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (No. 13).
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |