BERITA SEMASA

Seminggu kena balun setengah mati kata rosakkan badan kehakiman – Anwar

PULAU PINANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan atau merosakkan badan kehakiman negara sebagaimana didakwa sesetengah pihak, sebaliknya menghormati sepenuhnya proses pelantikan hakim yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, selama seminggu beliau difitnah hebat oleh pembangkang kononnya menjadi punca kerosakan institusi kehakiman negara, namun memilih untuk berdiam diri kerana menghormati prosedur pelantikan yang melibatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong dan perbincangan dalam Majlis Raja-Raja.

“Seminggu dia (pembangkang) balun saya setengah mati, kata Anwar perosak badan kehakiman.

“Tetapi saya tanya, hakim mana yang saya buang? Hakim mana yang kena pecat? Tak ada.

“Saya tak boleh jawab terus kerana pelantikan hakim bukan perkara kecil. Nama calon hakim dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), kemudian saya timbang dan bawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bila diperkenan, ia dibawa ke Majlis Raja-Raja dan hanya selepas itu barulah boleh diumumkan,” katanya dalam satu ucapan sempena Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Dewan Besar UiTM Cawangan Pulau Pinang, semalam.

Pada Khamis lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Pelantikan itu dibuat atas nasihat Perdana Menteri dan selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, Seri Paduka turut memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Majlis penyampaian watikah pelantikan serta istiadat mengangkat sumpah jawatan dan sumpah setia dijadual berlangsung pada 28 Julai ini di Istana Negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button