
Rapid KL On-Demand diperluas ke Shah Alam, Klang bermula hari ini
KUALA LUMPUR – Perkhidmatan Rapid KL On-Demand diperluas ke fasa Baharu meliputi 12 zon tambahan di Shah Alam dan Klang, Selangor, bermula hari ini.
Menurut kenyataan dari Rapid Bus Sdn Bhd, perkhidmatan van tersebut kini meliputi beberapa kawasan utama antaranya Persiaran Dato Menteri – KTM Shah Alam, KTM Padang Jawa – Terminal 17, KTM Padang Jawa – Seksyen 7, U12 Cahaya Alam, Bandar Baru Klang serta KTM Klang – Batu Belah.
Selain itu, zon baharu perkhidmatan termasuk Taman Summit, KTM Klang – Teluk Gadong, Sri Andalas, Klang Jaya, Bandar Bukit Tinggi dan Bandar Puteri.
Langkah peluasan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) untuk meningkatkan jaringan mobiliti bandar dan memperluas akses kepada pengangkutan awam, terutama bagi meningkatkan kesalinghubungan antara titik permulaan dan titik akhir perjalanan pengguna.
Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, peluasan perkhidmatan itu adalah usaha berterusan syarikat untuk membawa sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif kepada rakyat.
“Fasa ini bukan sahaja bertujuan memperluaskan liputan perkhidmatan tetapi juga sebagai bukti komitmen kami untuk menyediakan akses pengangkutan awam yang lebih seimbang, cekap dan berpatutan khususnya di kawasan-kawasan yang kurang diliputi oleh rangkaian bas sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan yang sama.
Dalam perkembangan lain, perkhidmatan Rapid KL On-Demand bagi zon Desa Pinggiran Putra – Dataran Gemilang Putrajaya kini akan digabungkan dengan zon MRT Putrajaya Sentral – PICC dan dinamakan semula sebagai MRT Putrajaya Sentral – PICC dan Desa Pinggiran Putra.
Gabungan itu bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk dan boleh ditempah setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 11.30 malam.
Tambang promosi serendah RM1 setiap perjalanan turut diteruskan sebagai galakan untuk lebih ramai pengguna mencuba perkhidmatan ini.
Pengguna boleh membuat tempahan melalui aplikasi Rapid On-Demand yang boleh dimuat turun secara percuma di Google Play Store dan Apple App Store.
Untuk maklumat lanjut mengenai zon liputan dan panduan penggunaan, pengguna boleh melayari laman web rasmi Rapid KL di www.myrapid.com.my atau saluran media sosial Rapid KL.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |