BERITA SEMASAPMX

Pulau Batu Puteh: PM Anwar tegaskan tiada dakwaan ke atas Tun M kerana faktor usia

KUALA LUMPUR – Keputusan untuk tidak mendakwa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat atas pertimbangan usia beliau yang telah mencecah 100 tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun kesalahan besar telah berlaku dalam perkara itu, keputusan menarik semula tindakan undang-undang ke atas Dr Mahathir dibuat secara sebulat suara oleh Jemaah Menteri.

“Kita ambil keputusan tarik balik sebab ia melibatkan mantan Perdana Menteri yang umurnya 100 tahun. Apakah dia tidak salah? Dia salah. Apakah perlu ambil tindakan? Saya, di Jemaah Menteri, setuju untuk tidak ambil tindakan.

“Jika ambil tindakan, Kota Bharu (merujuk Datuk Seri Takiyuddin Hassan) yang akan jerit kata kita tidak adil tapi saya tanpa membabitkan soal ini kerana usianya sudah 100 tahun,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee yang membangkitkan isu keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 berkenaan kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan serta hubungannya dengan penentuan sempadan maritim di Laut Sulawesi, termasuk kawasan blok ND6 dan ND7.

Menjawab persoalan itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa soal sempadan bukanlah perkara kecil atau remeh kerana ia melibatkan kedaulatan negara, baik dari aspek darat, laut mahupun udara.

“Soal sempadan bukan soal remeh. Ini soal kedaulatan negara. Kita tidak mudah untuk menyerah, baik darat, laut mahupun udara dan kita tangani dengan baik. Betul, ada keputusan ICJ pada tahun 2002 yang menyerahkan Pulau Sipadan dan Ligitan kepada Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa rundingan terdahulu yang melibatkan beliau dengan Presiden Indonesia ketika itu, Suharto telah membantu memperjelaskan sempadan sebenar termasuk berkaitan dengan kawasan yang dikenali sebagai ND6 dan ND7.

Tambah beliau, proses itu juga melibatkan perbincangan dengan kerajaan negeri.

“Kita tidak mahu ulang apa yang berlaku dengan Pulau Batu Puteh. Sekarang ini diam sahaja oleh rakan-rakan di sebelah sana (pembangkang).

“Kalau Beluran rasa terkesan dengan isu Laut Sulawesi, begitu juga rakyat Malaysia khususnya di Johor yang terkesan dengan penyerahan mudah Pulau Batu Putih. Mengapa perlu ada ‘double standard’?” soal beliau.

Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa kerajaan tetap komited mempertahankan hak dan kedaulatan negara dalam isu sempadan maritim dan tidak akan berkompromi dalam perkara tersebut.

Terdahulu, laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dan dikeluarkan tahun lalu mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Walau bagaimanapun, Dr Mahathir berpandangan laporan RCI mengenai Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan itu seolah-olah mahu menunjukkan dirinya seorang sahaja yang bertanggungjawab.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan bahawa beliau tidak membuat keputusan, sebaliknya hanya menyatakan pendapat dan ia dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu.

Sehubungan itu, Dr Mahathir menafikan laporan RCI bahawa beliau telah menipu Kabinet dan tidak membuat keputusan secara sembunyi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button