Kerajaan arah siasat kaunter ikat jamin mahkamah tutup awal
PETALING JAYA – Kerajaan mengarahkan siasatan dijalankan ke atas dakwaan kaunter ikat jamin di sebuah mahkamah Kuala Lumpur ditutup awal menyebabkan enam tertuduh terpaksa menghabiskan hujung minggu yang panjang di penjara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau sudah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang di bawah kementeriannya menyiasat dakwaan itu.
“Hak diikat jamin ialah hak asasi manusia dan berperlembagaan yang kerajaan hormati tanpa pertikaian. Sebarang tindakan, termasuk masalah pentadbiran, yang mengganggu hak ini dianggap melanggar prinsip kardinal ini.
“Jika dakwaan dibuat peguam tertuduh benar, ini tentunya perlu dikaji semula dan dibetulkan bagi memastikan kesilapan pentadbiran seperti ini tidak berulang,” katanya memetik laporan FMT.
Terdahulu, pada Khamis lalu, enam lelaki dilaporkan terpaksa menghabiskan hujung minggu panjang di penjara kerana kaunter memproses ikat jamin ditutup awal daripada kebiasaan.
Mereka antara 10 tertuduh minta dibicarakan atas konspirasi jenayah dengan niat menipu. Empat lagi membayar ikat jamin tepat pada masanya.
Peguam mereka, Alvin Tan mendakwa kaunter ikat jamin ditutup pada 2.53 petang, tidak lama selepas majistret membenarkan ikat jamin RM4,000 setiap satu. Notis di kaunter ikat jamin menyatakan waktu operasi sehingga 4.30 petang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







