BERITA SEMASA

Penuh disiplin dan tradisi, Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara diteruskan

KUALA LUMPUR – Seramai empat pegawai dan 79 anggota Pasukan Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (1 RAMD) terlibat dalam Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara Penggal 1 Siri 1/25 yang berlangsung di Dataran Kawalan Utama, Istana Negara, di sini hari ini.

Menurut Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali, acara penuh istiadat itu menandakan pertukaran rasmi tanggungjawab kawalan keselamatan daripada kumpulan lama kepada kumpulan baharu, melibatkan 1 RAMD dan 21 Skuadron Istiadat Berkuda (21 SIB).

“Pasukan terlibat adalah pasukan daripada 1 RAMD berkekuatan seramai dua pegawai dan 39 anggota untuk pengawal lama, dan dua pegawai, 40 anggota untuk pengawal baru. Dan melibatkan juga dua pegawai dan 22 kuda, pegawai anggota dan kuda daripada SIB.

“Acara ini menjadi simbol penghormatan tertinggi kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Negara dan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Istana Negara hari ini.

Pegawai Memerintah 1 RAMD, Kolonel Mohd Fuad Md Ghazali. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Kolonel Mohd Fuad berkata, bukan sekadar melibatkan pertukaran kawalan fizikal, acara tersebut turut membawa nilai simbolik yang besar dalam kesinambungan sejarah ketenteraan Malaysia.

“Simboliknya, pada zaman dahulu istana dikawal oleh hulubalang-hulubalang, yang mana tentera-tenteranya sendiri. Dan pada waktu begini, tentera melaksanakan tugas pengawal adalah sebagai simbol istiadat.” katanya.

Selain menjadi lambang kehormatan kepada Institusi Diraja, istiadat pertukaran pengawal juga menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara.

Istiadat Pertukaran Pengawal Istana Negara yang berlangsung di pekarangan Pintu 1 Istana Negara. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Kolonel Mohd Fuad berkata, ia sekali gus, memberi peluang kepada masyarakat menyaksikan sendiri keindahan tradisi ketenteraan yang jarang dipertontonkan secara umum.

“Pada tahun 1994, buat pertama kali istiadat ini telah dilaksanakan di luar daripada istana, bertujuan untuk menarik lagi ramai pelancong…dan pada tahun 2012, bermulalah istiadat pertukaran-pengawal ini di istana yang baru di Jalan Duta.

“Kemudian pada tahun 2015, pertukaran pengawal ini bersama-sama dengan pasukan 1 RAMD dan daripada SIB, melaksanakan tugas pertukaran pengawal ini di hadapan Istana Negara,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button