BERITA SEMASALUAR NEGARA

Krisis politik goncang Thailand, kerajaan Paetongtarn berdepan risiko tumbang

BANGKOK – Kerajaan campuran Thailand pimpinan Perdana Menteri, Paetongtarn Shinawatra kini di ambang kejatuhan selepas parti kedua terbesar dalam gabungannya, Bhumjaithai, mengumumkan penarikan diri secara mengejut daripada kerajaan persekutuan.

Langkah drastik itu mencetuskan kebimbangan akan berlakunya pilihan raya umum lebih awal sekiranya gabungan pimpinan Parti Pheu Thai gagal mengekalkan majoriti di Dewan Parlimen.

Bhumjaithai yang memiliki 69 kerusi Parlimen, dalam satu kenyataan rasmi, mengecam tindakan Paetongtarn dalam perbincangan berkaitan pertikaian sempadan Thailand-Kemboja.

Parti konservatif itu menyifatkan kenyataan Perdana Menteri sebagai “memalukan negara, rakyat dan angkatan tentera.”

“Kami melihat kedaulatan dan maruah negara telah tercalar. Bhumjaithai menyeru Perdana Menteri bertanggungjawab terhadap tindakannya,” tegas kenyataan itu.

Keretakan dalam kerajaan campuran dikatakan semakin parah susulan usaha Pheu Thai untuk menggugurkan Ketua Bhumjaithai, Anutin Charnvirakul, daripada jawatan Menteri Dalam Negeri—satu tindakan yang disifatkan sebagai pencetus utama krisis semasa.

Dengan ketiadaan Bhumjaithai, Pheu Thai kini hanya mempunyai kelebihan beberapa undi sahaja daripada paras majoriti minimum 248 kerusi, sekali gus mencetuskan ketidakpastian besar terhadap kelangsungan pentadbiran Paetongtarn.

Pemerhati politik tempatan menjangkakan sebarang penarikan diri tambahan daripada parti-parti kecil dalam kerajaan campuran boleh menjurus kepada kehilangan kepercayaan Parlimen dan keperluan untuk membubarkan Dewan, membuka laluan kepada pilihan raya umum dalam masa terdekat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button