BERITA SEMASAKEMENTERIAN PERTAHANAN

Laporan Ketua Audit Negara: Tentera Darat gagal kutip denda RM162.75 juta

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) dikesan gagal mengutip penalti berjumlah RM162.75 juta daripada kontraktor pertahanan yang lewat menyerahkan kenderaan berperisai, menurut Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2025 Siri 2 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut laporan itu, kenderaan terbabit sepatutnya dihantar mengikut lima kontrak yang dimeterai antara tahun 2011 hingga 2014, namun penghantaran dibuat lewat daripada jadual asal.

Selain itu, penalti berjumlah RM1.42 juta juga tidak dikenakan terhadap kelewatan kerja-kerja pembaikan serta penghantaran alat ganti antara tahun 2020 hingga 2023.

Laporan berkenaan turut mendedahkan bahawa kontrak penyelenggaraan dan pembaikan bernilai RM107.54 juta telah dipecahkan kepada 86 kerja berskala kecil.

Tindakan itu membolehkan pemberian kontrak dibuat secara rundingan terus dan sebut harga, sekali gus mengelak proses tender terbuka seperti yang ditetapkan.

Amalan tersebut, dikenali sebagai “pecah kontrak”, dilabel sebagai satu kelemahan serius dalam tadbir urus perolehan oleh Ketua Audit Negara.

Sebagai maklum balas, pihak Tentera Darat memaklumkan, mereka mengambil perhatian terhadap teguran audit dan sedang mengambil langkah penambahbaikan.

“Kami sedang memperkemaskan koordinasi antara jabatan agar semua prosedur dipatuhi sepenuhnya,” jelas Tentera Darat dalam laporan itu.

Ketua Audit Negara turut menggesa Kementerian Pertahanan mengambil tindakan segera untuk mendapatkan semula penalti tertunggak serta menghentikan amalan memecah kontrak.

Sebanyak lima pengauditan melibatkan tujuh kementerian telah dilaksanakan, merangkumi program, aktiviti dan projek berjumlah RM48.873 bilion.

Sebanyak 22 syor telah dikemukakan kepada kementerian, jabatan dan syarikat yang terlibat untuk tindakan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button