Berita SemasaBisnes & Ekonomi

‘Made By Malaysia’: Usaha perkukuh industri tempatan ganti kebergantungan FDI

KUALA LUMPUR – Malaysia sedang berusaha untuk beralih daripada kebergantungan tinggi terhadap pelaburan langsung asing (FDI) kepada satu pendekatan baharu yang dikenali sebagai ‘Made By Malaysia’.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, melalui pendekatan tersebut, fokus utama adalah bagi melahirkan syarikat-syarikat tempatan yang bukan sahaja berjaya di dalam negara, tetapi boleh bersaing di peringkat serantau dan global.

Jelas Tengku Zafrul, menerusi pendekatan itu, Malaysia berhasrat untuk mencipta harta intelek (IP), teknologi dan produk yang dibangunkan sendiri oleh rakyat Malaysia, bukan hanya menjadi pengeluar bagi syarikat asing.

“Walaupun industri semikonduktor kita buat masa ini tidak terjejas secara langsung oleh tarif Amerika Syarikat, penting untuk kita terus memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif.

“Kita perlu mempergiatkan agenda reformasi ekonomi dan industri, termasuk pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP), untuk memastikan Malaysia kekal berdaya saing di persada dunia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook milik beliau.

Terdahulu, Zafrul menghadiri Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) kedua bagi tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bagi membincangkan strategi pembiayaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) secara mendalam.

Dalam perkembangan lain, Tengku Zafrul memaklumkan kerajaan sentiasa mengalu-alukan kehadiran Oracle sebagai sebahagian daripada ekosistem digital Malaysia yang berkembang pesat.

Katanya, ia termasuk menerusi penglibatan dalam transformasi industri yang dipacu secara digital dan penyelesaian isu serta cabaran yang kompleks.

“Bersama kita memacu transformasi digital Malaysia ke hadapan dan mengukuhkan kepimpinan kita dalam transformasi digital ASEAN,” katanya dalam satu hantaran berasingan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button