
Lebih 6,000 sertai Cyberjaya Forest Run 2025 sempena Tahun Melawat Selangor
CYBERJAYA – Lebih 6,000 peserta membanjiri Persiaran Flora sempena acara Cyberjaya Forest Run 2025 yang berlangsung di sini, semalam.
Program anjuran Rimau Running dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JPP) Zon Sungai Merab Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) itu diadakan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Acara itu bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat di samping mempromosikan Selangor sebagai destinasi sukan pelancongan yang menarik.

Sesi pelepasan peserta bagi tiga kategori iaitu 12 kilometer (km), 5km dan 3km disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Fakhrul Hatta Musa; Ahli Majlis JPP Zon Sungai Merab, Ahmad Rozaidi Rozali serta Penolong Pengarah Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSepang, Norita Ahmad Patanah.
Menurut MPSepang, penganjuran Cyberjaya Forest Run menjadi platform penyatuan komuniti sambil memperkenalkan tarikan pelancongan hijau di daerah itu.

“Program seperti ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti riadah dan kesihatan, malah memperkukuh hubungan antara komuniti setempat dan agensi kerajaan.
“Ia juga selaras dengan usaha mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan yang berdaya saing,” kata MPSepang dalam satu kenyataan.
Para pemenang dalam setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai dan medal sebagai penghargaan.
Cyberjaya Forest Run dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Perhilitan dan disokong oleh pelbagai pihak tempatan sebagai sebahagian daripada inisiatif memperkukuh agenda kelestarian dan kesedaran alam sekitar di kalangan masyarakat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |