
PM Anwar arah NADMA perkemas jentera bantu mangsa banjir Sabah, Sarawak
KUALA LUMPUR- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri bagi membantu mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.
Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, keutamaan pada saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.
“Berduka cita menerima perkhabaran situasi banjir yang semakin buruk di Sabah dan Sarawak. Saya zahirkan simpati pada ribuan saudara kita di sana yang terkesan dengan bencana ini.
“Saya juga mengarahkan NADMA memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri. Keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan,” katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri manambah, Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif.
“Skuad Ihsan Madani akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.
Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda,” ujarnya lagi.
Menurut rekod Pusat Kawalan Bencana Negara setakat jam tiga petang semalam, jumlah mangsa banjir di kedua-dua negeri itu sudah melebihi 8,000 orang.
Di Sarawak, sebanyak 11 daerah yang terjejas dengan jumlah keseluruhan mangsa ketika ini 5,106 orang manakala Sabah membabitkan 10 daerah, meliputi 3,550 mangsa.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |