
Kes Zara Qairina: Individu dipanggil MCMC kerana sebar berita palsu, kandungan 3R
CYBERJAYA – Seorang individu dipanggil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan berhubung penyebaran kandungan berkaitan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di media sosial.
MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, kandungan yang dimuat naik di sebuah laman Facebook itu dipercayai mengandungi maklumat palsu serta unsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja), yang dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan awam dan menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.
“Orang ramai diingatkan supaya memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang berjalan dan mengelak daripada menyebarkan kandungan bersifat spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat.
“Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bertentangan dengan nilai etika serta boleh menjejaskan proses keadilan,” kata kenyataan itu.
Menurut MCMC lagi, individu berkenaan hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras pada 9 Ogos lalu.
Siasatan turut membawa kepada penyitaan satu unit telefon bimbit dan sekeping kad SIM bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |