
Tindakan perundangan akan diambil terhadap peminjam peraga kemewahan tapi enggan bayar – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki meminta pihak yang berhutang dengan agensi itu tidak merayu kepadanya untuk melupuskan hutang pinjaman.
Beliau berkata, hutang adalah wajib dibayar dan beliau hanya menjaga amanah wang rakyat di bawah MARA.
“Hutang wajib dibayar! Usah merayu kepada saya kerana bukan hak saya untuk melupuskan hutang. Saya menjaga amanah wang rakyat dibawah MARA, bakal dipersoalkan Allah kelak,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu katanya, MARA juga tidak sewenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan.
Katanya, MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang.
“Malah sebelum apa jua tindakan perundangan dilakukan, nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka.
“Namun jika semua usaha ini masih culas, sengaja tidak mahu membayar (procrastination) walaupun berkemampuan bahkan boleh pula memperagakan kemewahan di media sosial, MARA tidak akan teragak-agak mengambil tindakan perundangan.
“Bermakna tindakan perundangan adalah jalan terakhir untuk memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula,” katanya.
Terdahulu media melaporkan MARA telah menyerbu kediamanan pasangan artis terkenal selepas gagal melunaskan pinjaman berjumlah RM1 juta.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |