
Kementerian Digital jalin kerjasama industri dan akademia perkukuh kedaulatan dan bakat AI
KUALA LUMPUR – Kementerian Digital mengadakan dua sesi libat urus bersama pemain industri utama serta universiti awam terkemuka bagi memperkukuh kedaulatan dan pembangunan bakat dalam bidang kecerdasan buatan (AI).
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, sesi tersebut merupakan sebahagian daripada usaha membentuk ekosistem AI negara yang selamat, inklusif dan bersedia menghadapi masa depan.
“Sesi libat urus yang dianjurkan oleh Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) itu juga bertujuan mengumpul pandangan pelbagai pihak bagi pembangunan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2030 menjelang Sidang Kemuncak ASEAN AI Malaysia 2025 (AAIMS25),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Dalam usaha kita menjadi peneraju Negara AI di rantau ini, kita mesti memberi keutamaan kepada bidang berimpak tinggi yang mampu memberikan hasil awalan di samping melindungi kedaulatan kita.
“Data dan kepercayaan perlu menjadi asas kepada ekosistem AI negara,” katanya.
Menurutnya, perbincangan strategik bersama pemain teknologi tempatan dan antarabangsa turut memberi tumpuan kepada pembangunan garis panduan data sedia-AI, keperluan dasar tangkas dan telus serta pembinaan kepercayaan rakyat terhadap teknologi tersebut.
Dalam sesi berasingan bersama wakil universiti awam, kementerian meneroka strategi memperkukuh pendidikan dan penyelidikan dalam bidang AI.
Menurut Gobind, kerjasama erat antara kerajaan, industri dan akademia amat penting dalam memastikan pembangunan bakat yang mampan dan mampu memenuhi keperluan masa depan.
Katanya lagi, kesepakatan telah dicapai untuk meningkatkan kerjasama melibatkan pelaksanaan inisiatif sasaran yang menyokong inovasi, keterangkuman dan kelestarian bakat AI tempatan.
Beliau berkata, sesi libat urus seumpama itu akan diteruskan sebagai persediaan menjelang AAIMS25 yang dijadual berlangsung pada 12 dan 13 Ogos ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |