
Audit Negara berjaya kutip RM157.73 juta melalui tindakan pemulihan kewangan
KUALA LUMPUR – Jabatan Audit Negara (JAN) berjaya memperoleh bayaran balik berjumlah RM157.73 juta melalui audit yang dijalankan bagi tempoh 2024 hingga Jun 2025, termasuk melalui tuntutan penalti, sewa tertunggak, kutipan Liquidated Ascertained Damages (LAD), tunggakan pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha JAN untuk memastikan semua isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendapat perhatian dan tindakan susulan yang sewajarnya.
“JAN memastikan semua isu yang dibangkitkan dalam LKAN diambil tindakan oleh Jawatankuasa Susulan Laporan Ketua Audit Negara (JSLKAN) dan Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius (JTKS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Wan Suraya, kedua-dua jawatankuasa tersebut terdiri daripada agensi-agensi utama seperti Jabatan Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Beliau turut memaklumkan semua isu yang dibangkitkan dalam LKAN akan dimuat naik dalam Sistem Papan Pemuka Dalam Talian Ketua Audit Negara (AGD) untuk tujuan pemantauan dan tindakan lanjut.
Wan Suraya juga menyatakan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) yang diluluskan oleh Parlimen tahun lalu memberi kuasa tambahan kepada Ketua Audit Negara untuk menyusuli tindakan yang diambil berhubung isu, syor dan pandangan yang dibangkitkan dalam LKAN.
“Pindaan itu juga memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit badan lain termasuk syarikat berdaftar yang menerima jaminan kewangan daripada kerajaan,” ujarnya.
Menurut beliau, langkah itu membolehkan Ketua Audit Negara menjejaki penggunaan dana awam dengan pendekatan baru iaitu “Follow The Public Money Audit” serta mengeluarkan garis panduan dan syor bagi menangani penyelewengan yang serius sebagai langkah pencegahan terhadap penyalahgunaan wang awam.
Wan Suraya juga mengumumkan mulai tahun 2025, JAN akan memperkenalkan sistem eSelfAudit yang dibangunkan secara dalaman bagi mengaudit 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan.
Pengauditan terhadap syarikat-syarikat itu akan dilakukan setiap tahun bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan.
“Pindaan Akta 62 dan pelaksanaan sistem eSelfAudit ini merupakan bukti komitmen kerajaan untuk terus merealisasikan reformasi institusi dan memperkukuh tadbir urus negara, yang seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat terhadap agensi-agensi awam,” tambahnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |