Berita Semasa

YDPA zahirkan penghargaan, rasa kagum atas penganjuran Hari Kebangsaan 2023

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan di atas kejayaan penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2023 yang berlangsung penuh meriah di Dataran Putrajaya, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, Seri Paduka menzahirkan rasa suka cita dan kagum dengan sambutan itu yang dijayakan dengan penglibatan jabatan dan agensi kerajaan termasuk pihak swasta.

“Al-Sultan Abdullah bertitah sambutan Hari Kebangsaan tahun ini amat besar maknanya buat baginda dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang menyambutnya buat kali terakhir selaku Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Sambutan ini menjadi kenangan manis yang akan sentiasa dalam ingatan buat Seri Paduka Baginda berdua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada rakyat pelbagai kaum yang telah datang menyertai dan memberi sokongan untuk meraikan sambutan hari yang bersejarah itu.

Zahari berkata, Seri Paduka amat kagum menyaksikan persembahan yang ditunjukkan oleh kesemua kontinjen serta peserta daripada pelbagai peringkat umur yang mempamerkan semangat kenegaraan dan cintakan negara.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah semangat perpaduan dan patriotisme yang dipamerkan dalam setiap acara dan majlis yang dianjurkan di seluruh negara sangat membanggakan dan sewajarnya dipuji.

Baginda berharap semangat yang secara langsung mencerminkan keakraban rakyat pelbagai kaum itu dapat memperkukuh lagi keharmonian negara.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mengajak seluruh rakyat untuk bersama-sama mendoakan agar kedaulatan Malaysia terus dipelihara dan dilimpahi dengan segala keberkatan dan keamanan yang berkekalan.

Show More

Related Articles

Back to top button