Pengajaran modul hadis di sekolah, tidak wajar protes tanpa usul periksa
GEORGETOWN – Pihak yang menentang langkah kerajaan memperkenalkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah perlu mendapat maklumat yang lebih jelas mengenai modul tersebut terlebih dahulu.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan memprotes cadangan tersebut tanpa usul periksa adalah tidak wajar sama sekali.
“Apa lagi jika bantahan ini didorong oleh niat untuk meraih kepentingan politik murahan dengan meminggirkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya dalam laporan Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata, tujuan utama pengenalan modul itu adalah bagi melahirkan generasi umat Islam yang lebih terbuka terhadap kepelbagaian kaum, agama dan budaya dalam kalangan warga Malaysia, dan sekaligus dapat menyumbang kepada keharmonian negara.
“Tujuan memperkenalkan modul ini adalah untuk memupuk semangat ihsan (kebajikan) dan kasih sayang antara manusia tanpa mengira latar belakang keturunan, agama dan budaya.
“Tujuan berkenaan diharap boleh dicapai menerusi kefahaman yang betul tentang agama Islam sebagai agama rahmat selain menganjurkan sikap toleransi serta saling menghormati antara satu sama lain, walaupun berbeza pegangan agama dan kebudayaan,” katanya lagi.
Sebelum ini, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan akan memulakan pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang.
Modul tersebut akan dilaksanakan secara rintis melibatkan guru dan murid beragama Islam di 61 buah SMKA dan 228 buah SABK seluruh negara.
Wan Salim seterusnya menambah, rakyat Malaysia bukan beragama Islam perlu faham bahawa pandangan ekstrem dan yang memusuhi orang bukan Islam adalah berpunca daripada kefahaman yang salah terhadap ajaran-ajaran Islam itu sendiri.
“Kumpulan-kumpulan seperti Daesh yang memperjuangkan penubuhan negara Islam di Iraq dan Sham (Syria-Lebanon) dengan sewenang-wenangnya membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan mereka adalah disebabkan kefahaman mereka yang salah terhadap ajaran Islam yang sebenar,” katanya lagi.