Malaysia, China bakal meterai MoU dalam bidang perumahan, perancangan bandar
PUTRAJAYA – Malaysia dan China bakal memeterai memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perumahan, perancangan bandar dan bandar pintar.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertukaran MoU antara Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar-Luar Bandar China itu akan disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri China, Li Qiang ke Malaysia bermula esok hingga 20 Jun.
“Melalui MoU ini, kedua-dua negara bakal memperoleh manfaat melalui perkongsian kepakaran dan amalan terbaik serta kerjasama dalam inisiatif dan projek berkepentingan.
“Pertukaran MoU dalam bidang perumahan serta pembangunan urbanisasi ini dilihat sebagai kerjasama strategik dan signifikan antara Malaysia dan China,” kata Kor Ming dalam kenyataan tersebut, hari ini.
Susulan pemeteraian MoU itu, kedua-dua negara dijangka meneroka potensi kerjasama dalam perumahan pintar, pembangunan semula bandar, mobiliti bandar, daya huni bandar, kemampanan bandar dan pemprofilan.
Disamping itu, kedua-dua negara turut dijangka meneroka penyelesaian dan perkhidmatan pintar untuk pengoperasian dan pengurusan bandar; pembinaan dan pengubahsuaian pintar; perkongsian mengenai pengiktirafan serta pensijilan bandar pintar.
MoU ini akan membuka peluang Malaysia mendapatkan kepakaran dan terknologi terkini berkaitan perumahan serta pembangunan urbanisasi daripada China yang berpotensi meningkatkan nilai pelaburan negara, nilai pembangunan kasar serta mampu menjana ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.
“Pada masa sama ia dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada yang telah terjalin antara Malaysia dan China,” katanya lagi.
Li Qiang dijadualkan tiba malam ini bagi lawatan rasmi ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Dalam lawatan itu, Qiang akan mengadakan pertemuan dengan Anwar untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
X :@malaysiatribune
Instagram :@malaysiatribune
Threads :@malaysia.tribune
Youtube :Malaysia Tribune
TikTok : Malaysia Tribune
Whatsapp Channel :Malaysia Tribune
Telegram :Malaysia Tribune