KPKT, KKM cadang wujudkan kiosk layan diri perubatan
PUTRAJAYA – Kerajaan bercadang mewujudkan kiosk mesin layan diri perubatan di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
Inisiatif di antara Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu bertujuan memudahkan penduduk mendapatkan bekalan ubat dan perubatan semasa kecemasan khususnya ketika lewat malam.
Menurut Menteri KPKT, Nga Kor Ming, orang ramai boleh mendapatkan bekalan ubatan seperti panadol dan vitamin di kiosk layan diri tersebut.
“Kita sedang meneliti kerjasama dengan KKM supaya kiosk menjual ubat ini boleh diletak di kawasan PPR. Apabila anak sakit pada tengah malam (ibu bapa) tak payah pergi farmasi, ada kiosk 24 jam macam kita beli makanan ringan.
“Inisiatif ini baik untuk kita kaji,” kata Kor Ming pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani Nota Persefahaman Kerjasama Strategik Perkhidmatan Kesihatan dan Kebombaan.
Hadir sama, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Sementara itu, Zaliha berkata kerjasama antara KKM dan KPKT yang dimeterai memudahkan urusan termasuk melibatkan soal pengurusan bencana, penggunaan sumber aset serta pengurusan kebakaran.
“Kerjasama ini juga termasuk dari sudut pengalaman dan bantuan kebakaran, latihan perubatan dan sebagainya membabitkan KKM dan KPKT,” katanya.
Sementara itu, Kor Ming berkata, kerjasama dua kementerian tersebut turut dapat menjimatkan kos sebanyak RM15 juta setahun.
“Kalau lima tahun RM75 juta dapat kita jimat, ini penjimatan besar dapat bawa manfaat kepada rakyat,” katanya lagi.