Ahmad Zahid akui BN kini ditolak rakyat
KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengakui BN kini sedang ditolak rakyat, justeru gabungan parti itu perlu bangkit bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, penolakan tersebut bukanlah suatu perkara yang luar biasa, sebaliknya beliau menyifatkan ia merupakan sebahagian daripada landskap politik di negara ini.
“Dalam cabaran yang kita hadapi sekarang, ketika UMNO dilanda penolakan orang Melayu. UMNO, MIC, MCA dan PBRS harus bangun semula dapatkan dokongan rakyat.
“(Penolakan) ini memberi landskap yang tidak sihat (kepada negara). Sokongan (kepada BN) yang merudum pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dibina semula,” katanya berucap melancarkan pembinaan bangunan baru MIC di sini, hari ini.
Yang hadir sama, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M Saravanan.
Menurut Ahmad Zahid lagi, parti komponen BN tidak boleh mempunyai agenda untuk meminggirkan antara satu sama dalam usaha memulihkan imej parti gabungan tersebut.
Jelasnya, kerjasama bersama Pakatan Harapan (PH) merupakan jalan terbaik memulihkan semula imej gabungan itu.
“Jangan ada agenda meminggirkan antara satu sama lain. Kita kena sokong antara UMNO, MIC, MCA serta PBRS dan juga rakan-rakan dalam Friends of BN.
“Sejarah sering ada putarannya. Kita sedang hadapi penolakan ini, yang agak ke bawah (kedudukan BN). Tapi tidak selalunya yang di bawah ini akan terus di bawah kalau kita ada usaha untuk naikkan,”
“Saya yakin BN akan naik semula selepas cabaran ini kita hadapi dan dapat diatasi. Apa yang terbaik adalah rangkaian (kerjasama) kita dalam PH.
“Kombinasi kita dengan PH walaupun belum menampakkan keyakinan yang baik, (namun) tempoh ini baru sembilan bulan bagi BN dan rakan-rakan dalam PH untuk bina semula sokongan,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tahun lalu, BN hanya menang di 30 kerusi Parlimen manakala pada PRN, BN sekadar menang di 19 kerusi DUN dari 108 kerusi yang ditandingi.