Berita Semasa

Badan seorang hafiz al-Quran, mangsa nahas Beechcraft tidak hangus

KUALA LUMPUR – Jasad salah seorang mangsa nahas pesawat Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina, Shah Alam dikatakan tidak hangus walaupun terkorban dalam kebakaran yang memusnahkan 100 peratus pesawat berkenaan.

Kisah itu diceritakan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusofff di dalam hantaran di Instagramnya selepas melawat keluarga mangsa di Taman Ketari, Bentong, Pahang.

Beliau berkata, jasad Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, yang merupakan seorang hafiz berada dalam keadaan baik kecuali pakaiannya sahaja yang terbakar.

“Al-Fatihah. Baru sahaja selesai menziarahi keluarga beliau di Taman Ketari, Bentong Pahang. Terharu dapat makluman dari keluarga arwah bahawa jasad arwah tidak hangus terbakar, hanya pakaian saja yang terbakar.

“Allahu Akbar. Almarhum Ustaz Idris adalah merupakan seorang Hafiz Al-Quran. Semoga semua roh para arwah bersama para solihin dan ditempatkan di syurga yang tertinggi,” tulisnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak masing-masing berusia 54 hari, 10 tahun serta 14 tahun.

Allahyarham adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa.

Namun, Allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.

Johari Harun dan Idris merupakan dua daripada penumpang yang terkorban dalam nahas berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button