DUN Sabah: Tempat duduk Bung Moktar, dua ADUN BN dipindah ke blok pembangkang
KOTA KINABALU – Tempat duduk Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dipindahkan ke blok pembangkang pada persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Perubahan itu berlaku berikutan pengumuman Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut berubah kedudukan adalah dua lagi tempat duduk ADUN BN yang sebelum ini menyandang jawatan menteri dalam Kabinet negeri iaitu ADUN Karambunai, Datuk Yakub Khan dan ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin.
Bagaimanapun, kedudukan tempat duduk lima ADUN BN yang secara terbuka menyatakan sokongan kepada kepimpinan Hajiji, kekal tidak berubah.
Persidangan khas DUN hari ini diadakan bagi membentangkan dua Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan bekalan gas dan Suruhanjaya Tenaga Sabah oleh Hajiji.