Rosmah dapat pasport lawat Yana bakal bersalin di Singapura
PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Datin Seri Rosmah Mansor untuk mendapatkan sementara pasportnya ke Singapura bagi melawat anaknya Nooryana Najwa Mohd Najib yang dijangka melahirkan anak ketiga hujung bulan ini.
Keputusan itu dibuat oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin yang membenarkan permohonan Rosmah selaku pemohon selepas peguamnya Datuk Jagjit Singh memaklumkan bahawa anak guamnya perlu ke negara itu kerana anak sulungnya, Nooryana akan bersalin dalam masa terdekat.
“Anak guam saya memohon pasport itu bagi membolehkannya ke Singapura esok hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 September dan 9 September hingga 31 Oktober ini. Pihak pendakwaan juga tidak membantah permohonan ini,” kata Jagjit.
Ini adalah kali keempat Rosmah memohon untuk mendapatkan pelepasan pasport antarabangsa untuk ke Singapura.
Kali pertama pada 15 Oktober 2021 untuk melawat Nooryana yang melahirkan anak keduanya, pada 21 Mac lepas untuk melawat anak dan cucunya yang tidak sihat, dan pada 15 Jun bagi melawat anak perempuannya itu
Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn mengesahkan pihaknya tidak membantah permohonan berkenaan.