Jenayah & Mahkamah

Kes 7 remaja pukul pelajar: Polis lengkap kertas siasatan

JOHOR BAHRU – Ketua Polis Daerah Johor Bahru, Selatan ACP Raub Selamat memaklumkan kertas siasatan berhubung kes remaja termasuk seorang warga asing yang terlibat dalam kes pukul pelajar sekolah di Taman Bestari Indah di sini, sudah dilengkapkan.

Menurut Raub, kertas siasatan tersebut akan diserahkan hari ini kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan susulan.

“Siasatan telah selesai dan mereka telah dibebaskan dengan jaminan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Raub berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja berusia 15 tahun dipercayai menjadi mangsa pukul kira-kira 4.09 petang, Isnin lepas.

Katanya hasil siasatan mendapati punca kejadian dipercayai adalah disebabkan rasa tidak puas hati oleh suspek utama yang berumur 15 tahun, setelah mangsa berkawan dengan kekasihnya.

Susulan itu, tujuh remaja berkenaan telah ditahan reman selama dua hari bermula semalam untuk disoal siasat bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pada Isnin lepas, tular satu video berdurasi 59 saat yang memaparkan seorang remaja lelaki dipukul oleh seorang remaja dan terdapat juga beberapa remaja lelaki lain di sekitarnya.

Show More

Related Articles

Back to top button