Semi buffet sempena Ramadan di Casa De Madani
CYBERJAYA – Sempena bulan Ramadan nanti, restoran fine-dining halal, Casa De Madani akan menampilkan konsep semi buffet bagi juadah berbukanya.
Semi buffet yang disediakan terdiri daripada campuran hidangan bercirikan hidangan Melayu, Eropah dan juga Timur Tengah.
Selain nasi, lauk pauk dan kuih muih tempatan, pelanggan yang mahukan kelainan turut boleh berbuka dengan aneka pasta, roti, bubur, dan juga aneka sup.
Dan bagi melengkapi pengalaman buka puasa tersebut, pelanggan boleh memilih di antara Salmon Al Forno, Petto Di Pollo Con Spinaci ataupun Filetto Di Manzo Tartufo sebagai hidangan utama.
Pengarah Kulinari Malakat Food Sdn Bhd, Mohd Azizan Shukri berkata, kelainan ini merupakan cara Casa De Madani membawakan pengalaman berbuka puasa yang berbeza dari restoran lain.
“Tiap kali Ramadan, semua tempat mengadakan sistem buffet yang tidak banyak berbeza dari tahun ke tahun.
“Kali ini kami mahukan sedikit kelainan, dengan menu buffet berbeza pada setiap minggu, dan juga hidangan utama yang pasti memberi kelainan kepada citarasa pelanggan,” kata Azizan.
Salmon Al Forno merupakan filet ikan salmon bakar yang dihidangkan dengan sos salsa mangga dan sos hollandaise lemon.
Petto Di Pollo Con Spinaci pula merupakan hidangan dada ayam bakar dengan sos bayam dan thyme, manakala Filetto Di Manzo Tartufo pula ialah daging lembu bahagian tenderloin bersama sos krim kentang dan truffle.
Semi buffet tersebut berharga RM100, dan tempahan awal sebelum 1 Ramadan akan diberikan diskaun sebanyak 15 peratus.
Pelanggan yang berminat untuk membuat tempahan boleh menghubungi talian 01111435309 dan 0192681350.